Mangsa kebakaran menetap di rumah PPRT kosong

in Edisi Johor by


KOTA TINGGI – Mangsa kebakaran di Kampung Sayang di sini, ditempatkan terus di sebuah rumah Peserta Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang kosong di kampung tersebut.


Adun Sedili, Rasman Ithnain berkata, tambahan pula rumah berkenaan yang berada di bawah seliaan pejabat daerah dibangunkan untuk membantu penduduk susah.


“Mereka sekeluarga akan terus tinggal di rumah PPRT ini. Sementara rumah PPRT yang terbakar itu nanti akan dibina semula agar boleh membantu penduduk lain yang memerlukan pula.


[ ARTIKEL BERKAITAN: ‘Mujur terjaga akibat kepanasan’ ]


“Jadi, mangsa juga tidak perlu bersusah payah mencari rumah sewa dan sebagainya. Anak-anaknya yang bersekolah di sini juga tidak perlu berpindah ke tempat lain,” katanya selepas hadir menyerahkan sumbangan kepada keluarga berkenaan.


Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) Kota Tinggi, Baser Senin; Penghulu Mukim, Aidil Masih; wakil Baitulmal, Zaki Adon dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Dalam pada itu, Rasman turut menjelaskan ini adalah masanya wakil rakyat sepertinya melakukan kerja untuk rakyat di peringkat akar umbi lebih-lebih lagi pada masa penduduk ditimpa musibah.


Katanya, bantuan diberikan bukanlah bertujuan politik sebaliknya ia selayaknya diterima rakyat terutamanya mereka yang ditimpa kesusahan.


“Cukuplah dari sebelum pilihan raya sampai dah tamat pilihan raya kita berpolitik. Sekarang ini adalah waktu untuk kita kerja untuk rakyat.


“Diharapkan segala bantuan diberikan agensi dapat meringankan beban mangsa sekeluarga yang tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran ini,” katanya yang kini merupakan Adun Bebas.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]