Masa terbaik ahli Umno memilih

in Uncategorized by


BAGAN SERAI – Minggu ini pastinya merupakan minggu paling mengecewakan buat semua ahli Umno di seluruh negara, terutamanya Umno bahagian dari utara negeri Perak.


Tempoh perit itu menyaksikan dua wakil rakyat Umno dari kawasan Parlimen berjiran, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal membuat pengumuman keluar parti dan wakil rakyat bebas selang empat hari sahaja.


Lebih mengejutkan, keputusan itu dibuat oleh salah seorang wakil rakyat yang bergelar ketua Umno bahagian dan kedua-duanya turut menjadikan alasan masalah dalaman sebagai modal keluar parti.


Jadi, pastinya mesyuarat pemilihan Umno bahagian yang dijalankan serentak bersempena dengan pemilihan jawatan tertinggi Umno Pusat hari ini menjadi tumpuan utama semua pihak, baik daripada ahli parti mahupun rakyat negara ini.


Apa yang pasti, ramai ingin melihat adakah kepimpinan baharu menerajui Umno benar-benar relevan, berwibawa dan mempunyai integriti untuk memulihkan kembali imej parti itu yang mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah penubuhannya pada PRU14?


Pemilihan kepimpinan baharu Umno juga bakal menentukan sama ada fenomena wakil rakyat keluar parti itu dapat dibendung atau kembali berleluasa sehingga menggoyahkan lagi kekuatan Umno untuk menjadi pihak pembangkang berkualiti.


Paling penting, ramai ahli Umno dan rakyat di luar hendak melihat pemilihan Umno kali ini menjadi mesyuarat pemilihan paling bersih, bebas daripada politik wang dan cai sekiranya parti hendak kembali bangkit disegani dan digeruni parti lawan seperti dahulu.


Di peringkat Umno Pusat, bahang pemilihan pastinya tertumpu kepada calon mana paling berkelayakan untuk memegang tampuk pentadbiran Umno dengan persaingan sengit dijangka berlaku antara tokoh veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Mereka merupakan tiga calon paling popular daripada keseluruhan enam calon yang menawarkan diri bertanding bagi jawatan Presiden Umno bagi penggal tahun 2018-2021.


Persaingan di peringkat jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden Umno juga amat rancak dan senario ini turut membuktikan amalan demokrasi sihat dalam memilih kepimpinan berwibawa mula menular dalam parti itu.


Di peringkat Umno bahagian di kawasan Perak Utara, persaingan merebut jawatan ketua bahagian rancak berlaku melibatkan tiga bahagian iaitu Parit Buntar, Bagan Serai dan Selama.


Bagi Umno bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie terus diberi kepercayaan mengekalkan jawatan ketua Umno bahagian itu tanpa dicabar ahli akar umbi.


Cuma di Umno bahagian Bukit Gantang menyaksikan jawatan ketua bahagian secara rasminya dikosongkan memandangkan penyandangnya, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bertindak keluar Umno meskipun diberi laluan menang tanpa bertanding bagi sesi pemilihan penggal ini.


Di PARIT BUNTAR menyaksikan pertembungan dua penjuru antara bekas Pengerusi Bernama, Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman dan penyandang jawatan Ketua Umno bahagian itu, Datuk Abu Bakar Md Ali.


Bagi jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian itu, penyandang jawatan itu, Abdullah Salleh pula bakal menerima cabaran sengit bekas calon BN Dun Kuala Kurau, Shahrul Nizam Razali pada PRU14 lalu.


Jawatan Naib Ketua Umno bahagian Parit Buntar bakal menyaksikan perebutan antara Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mu’ammar Ghadafi Jamal Jamaluddin dengan bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno bahagian itu, Asman Ibrahim.


Pemerhati politik setempat menjangkakan jawatan Ketua Umno bahagian Parit Buntar akan terus dipegang Abu Bakar berdasarkan sokongan kuat diterimanya daripada akar umbi parti berbanding Abdul Rahman yang dianggap lebih terkenal di peringkat pusat.


Situasi sama dihadapi penyandang Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat di PARLIMEN BAGAN SERAI yang menerima tentangan pemimpin veteran Umno bahagian itu, Abdul Kadir Shaikh Hussin Kadir.


Adun Selinsing baharu, Mohammad Noor Dawoo boleh menarik nafas lega setelah diberi laluan mudah memenangi jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian itu tanpa dicabar, cuma jawatan Naib Ketua Umno bahagian menyaksikan persaingan tiga penjuru.


Di LARUT, sejarah baharu Umno bahagian Larut tercipta apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Hamzah Zainuddin buat pertama kali bertanding merebut jawatan ketua bahagian itu.


Usaha julung kali Hamzah itu bagaimanapun mendapat tentangan seorang kontraktor, Nordin Abu Hassan, namun bekas menteri Kabinet itu dijangka tidak menghadapi masalah mengenepikan saingan pencabarnya.


Sinar Harian difahamkan faktor utama kesanggupan Hamzah menawarkan diri menerajui Umno bahagian itu semata-mata untuk mengukuhkan kembali parti bagi merampas kembali dua Dun yang buat pertama kali dimenangi Pas sejak PRU diadakan.


Cuma persoalan utama, mampukah Hamzah memulihkan kembali hubungan Umno bahagian dengan tiga pemimpin adik-beradik berpengaruh di Parlimen Larut iaitu bekas Adun Kubu Gajah, Hasbullah Elias; tokoh penceramah agama terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias dan bekas Adun Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias?


Majoriti ahli akar umbi Umno bahagian Larut mengakui kekuatan pengaruh adik-beradik Elias amat penting dalam memastikan usaha merampas kembali Dun Selama dan Dun Kubu Gajah yang dimenangi Pas pada PRU15 terlaksana.


Justeru, tanggungjawab berat pastinya menanti Hamzah dalam menyatukan kembali saf kepimpinan Umno bahagian yang agak berpecah-belah susulan pergeseran dalaman yang berlaku dari pelbagai aspek.


Di PARLIMEN BUKIT GANTANG pula, situasi unik berlaku apabila kerusi jawatan ketua Umno bahagian itu pastinya akan dikosongkan sepanjang penggal tahun 2018-2021, susulan penyandangnya bertindak keluar parti meskipun diberi kemenangan tanpa bertanding.


Tanggungjawab berat kini perlu digalas oleh Adun Kuala Sepetang, Kamaruddin Abu Bakar yang bakal memenangi jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian itu tanpa sebarang pertandingan, untuk menyatukan kembali saf kepimpinan Umno bahagian yang dilihat agak berpecah belah susulan keputusan mengejut Syed Abu Hussin Hafiz.


Bagaimanapun, kenyataan dibuat Adun Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Adun Trong, Jamilah Zakaria menyatakan akan terus setia bersama Umno dan BN pastinya sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada Kamaruddin dalam memulihkan kembali semangat ahli Umno bahagian itu.


Lebih menarik, Kamaruddin sewaktu dihubungi turut menegaskan Umno bahagian itu akan terus mengadakan mesyuarat pemilihan Umno bahagian hari ini di lokasi asal meskipun cadangan itu dibantah sebilangan pemimpin akar umbi.


“Kita akui terdapat desakan akar umbi meminta lokasi penganjuran mesyuarat perwakilan Umno bahagian Bukit Gantang  esok(hari ini) diubah ke tempat lain dari lokasi asal, namun setelah dirujuk kepada Setiausaha Umno Perak, ianya perlu kekal di tempat asal.


“Jadi, saya minta semua perwakilan berjiwa besar dan hadir ke mesyuarat ditetapkan meskipun lokasi itu ada kaitan dengan bekas Ketua Umno bahagian,”katanya.


Apa pun keputusan, pastinya mesyuarat perwakilan Umno bahagian kali ini diharapkan memberi sinar baharu kepada Umno untuk kembali bangkit dan mampu kembali menjadi suara keramat orang Melayu pada masa hadapan.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]