Papan iklan pamer wajah penghutang

in Global by


ANHUI – CHINA. Sebuah bandar di China mempunyai cara ‘kreatif’ bagi memaksa penghutang degil untuk melunaskan hutang mereka.


Mahkamah Rakyat Fuyang Yingquan di bandar Anhui bertindak menampal wajah penghutang di papan iklan setiap stesen bas bandar berkenaan.


Papan iklan tersebut turut menyatakan butir peribadi seperti nama, alamat, nombor pengenalan peribadi serta jumlah hutang.


Menurut pihak mahkamah ‘poster hutang’ terbabit akan dikemaskini dengan nama baharu setiap bulan.


Sekiranya bayaran balik dibuat, notis bertulis ‘Bayaran Telah Dibuat’ akan diletak bersebelahan wajah penghutang.


“Kumpulan pertama terdiri daripada 30 penghutang berusia dan mereka yang mempunyai jumlah pinjaman yang banyak.


“Pada bulan Julai 2013, Mahkamah Agung Rakyat memutuskan jika penghutang enggan membayar walaupun mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian, hak privasi dan reputasi mereka harus dikawal,” kata jurucakap Mahkamah Rakyat Fuyang Yingquan kepada Beijing News.


Menurut dokumen itu, nama, jantina, umur, nombor pengenalan peribadi dan butiran kesalahannya boleh dipaparkan melalui saluran awam termasuk surat khabar, televisyen, internet dan papan iklan.


Taktik tersebut dikatakan berjaya apabila seorang penghutang sudah pun membuat bayaran balik.


Sementara itu, terdapat laporan mengatakan bandar-bandar lain di China menggunakan skrin LED dan klip ‘trailer’ di panggung wayang bagi menamakan dan memalukan penghutang. – Dailymail


Source: SH Global

[featured-video-plus]