Pengusaha nira raih RM7,000 sebulan

in Edisi Terengganu by


MARANG – Air nira, ada juga memanggilnya air tuak merupakan sejenis minuman tradisi cukup popular di kalangan masyarakat di Terengganu dan Kelantan sebagai minuman pilihan mereka.


Tidak hairanlah minuman yang dihasilkan melalui keratan mayang kelapa itu mempunyai rasa enak dan lazat serta cukup laris ketika waktu panas dan setiap kali tibanya bulan Ramadan setiap tahun.


Norazlinda Ibrahim, 36, dan suami, Azmi Yaacob, 41, dari Batu Putih di sini, antara ratusan pengusaha minuman itu di daerah ini yang mengusaha pembuatan air nira diwarisi keluarga sejak lima tahun lalu.


Norazlinda berkata, setiap kali tibanya musim kemarau, air nira dijual akan mendapat sambutan tinggi selain pada bulan Ramadan pada setiap tahun sebagai minuman yang perlu ada ketika berbuka puasa.


Menurutnya, pada Ramadan lalu dia perlu menyediakan lebih 50 liter air nira setiap hari dan dijual pada harga RM45 bagi setiap 10 liter malah permintaan terhadap minuman itu terus meningkat setiap hari.


“Namun, ketika itu (Ramadan) kami hanya menyediakan air nira yang ditempah pelanggan sahaja dan tidak sempat untuk menjual kepada pelanggan lain. Kadang-kala ada juga tempahan yang terpaksa ditolak.


“Saya tidak pernah mengira pendapatan tetapi secara ‘cincai’  pendapatan diperoleh lebih kurang RM7,000 sebulan ketika Ramadan lalu iaitu sekali ganda daripada jumlah pendapatan hari biasa,” katanya.


Selain air nira segar, Norazlinda turut menghasilkan cuka nira yang diperbuat daripada minuman tersebut untuk dijadikan penambah rasa dalam pelbagai jenis masakan yang dijual di gerai di hadapan rumahnya.


Sementara itu, seorang penggemar nira, Mohamad Hassan, 46, dari Batangan berkata, dia menggemari minuman itu disebabkan rasanya enak terutama apabila diminum ketika sejuk.


“Air nira cukup lazat diminum bersama ais. Rasanya sedikit masam manis mampu memberikan kepuasan kepada pengemarnya. Jadi tidak hairanlah minuman ini mendapat permintaan tinggi,” katanya.


Beliau juga menjadikan air nira sebagai antara minuman yang perlu ada pada Ramadan, sebagai minuman sewaktu berbuka puasa namun bukanlah sebagai minuman wajib pada setiap hari.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]