Sampah hanyut cemar sungai

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


ALOR GAJAH – Kerajaan Melaka memandang serius permasalahan sampah sarap hanyut di perairan Sungai Rembau – Melaka sejak lebih setahun lalu.


Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan ekosistem di muara sungai berkenaan tidak terus tercemar.


Menurutnya, selain cadangan mendalamkan sungai, usaha membina perangkap sampah bagi mengatasi masalah berkenaan dari terus berpanjangan dan semakin teruk dilihat amat positif.


“Sungai di kawasan tersebut kurang tercemar namun sampah hanyut yang mengalir menyebabkan keindahan ekosistem di kawasan tersebut terganggu yang memberi kesan kepada habitat semula jadi di sungai berkenaan.


“Kita akan kaji semula terhadap aktiviti pendalaman sungai ini malah jika dijalankan akan mendatangkan kesan terhadap ekosistem dan ia akan menjadi sia-sia terhadap usaha dilakukan Jabatan Perikanan yang melakukan pembenihan sejak dahulu lagi,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pelepasan Benih Udang Galah Ke Perairan Sungai Rembau, Masjid Tanah, di sini, semalam.


Hadir sama Pengarah Perikanan negeri, Johari Tim; Pegawai Perikanan negeri, Doreen Wee Siew Leen dan Ketua Komuniti Nelayan Pengkalan Paya Lebar, Muhammad Jantan.


Norhizam berkata, pihaknya juga akan berbincang bersama Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Muhammad Jailani Khamis bagi membangunkan kawasan itu sebagai pusat agro pelancongan yang mampu menjana pendapatan penduduk sekitar.


“Pembangunan tersebut meliputi pembinaan inap desa serta pelbagai aktiviti pelancongan lain yang mampu memasarkan produk penduduk Kampung Paya Lebar selaras menaikkan dasar negeri Melaka yang dikenali sebagai negeri pelancongan,” katanya.


Dalam pada itu, sebanyak 100,000 benih udang galah dilepaskan di sungai tersebut bagi mengekalkan stok spesies berkenaan di perairan umum.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]