‘Terima kasih bantu Syukri’

in Edisi Johor by


PONTIAN – Nelayan, Johan Zainal, 60, dan isterinya, Samsiah Sarip, 48, yang memiliki anak menghidap penyakit ketumbuhan di belakang mata, Mohd Syukri, 9, bersyukur menerima sumbangan RM1,000 selepas kisah anaknya disiar Sinar Harian.


Samsiah berkata, sumbangan itu akan digunakan bagi menampung kos perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan pengangkutan awam seperti bas dan teksi dari Pontian memandangkan mereka tidak memiliki kereta.


Menurutnya, Syukri yang merupakan anak bongsu dari dua beradik perlu menjalani pemeriksaan di HKL sebelum pembedahan membuang ketumbuhan di belakang mata dilakukan oleh doktor pakar.


“Tak sangka ada orang hubungi saya mahu beri sumbangan wang kepada Syukri. Mungkin dalam lima atau enam orang yang hubungi saya.


“Mereka juga tanya khabar dan doakan Syukri lekas sembuh. Ada bagi kata-kata semangat kepada saya agar tabah,” katanya.


Samsiah meminta orang ramai mendoakan kesihatan Syukri kerana dia akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan bertemu pakar bedah hari ini dan 17 Julai depan.


“Risau juga fikirkan keadaan Syukri yang tidak boleh kena cahaya matahari ketika menaiki bas ke Kuala Lumpur.


“Tetapi apa pilihan lain yang kami ada selain naik bas ke Kuala Lumpur,” katanya.


Jelas Samsiah, dia hanya mampu berdoa agar Syukri tidak mengalami sebarang masalah sepanjang  perjalanan mereka ke Kuala Lumpur menaiki bas dari Terminal Pengangkutan Awam Pontian.


“Saya, suami dan Syukri bertolak menaiki bas kira-kira jam 12.30 tengah hari ke Kuala Lumpur, semalam.


“Kami akan bermalam di rumah adik angkat di Ampang dan paginya akan di HKL,” katanya.


Pada 18 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan penderitaan Mohd Syukri yang menghidap penyakit ketumbuhan di belakang mata sehingga menyebabkan penglihatannya kabur dan tidak dapat bergerak aktif seperti rakan-rakan seusianya.


Syukri yang kini bergantung kepada ubat dari hospital untuk menahan kesakitan juga alah kepada sinar cahaya matahari kerana boleh menyebabkan dia pening dan sakit kepala.


Bapanya, Johan pula semakin uzur dan menghidap penyakit darah tinggi menyebabkan dia perlu dibantu isterinya,  Samsiah Sarip, 48, setiap kali turun ke laut menangkap ikan demi mencari rezeki buat keluarga.


Samsiah akan menjala ikan manakala Johan akan mengemudi enjin bot di tengah laut.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]