Tiga kali sehari bersih premis

in Edisi Selangor KL by


SEPANG – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bakal mewajibkan pemilik restoran 24 jam untuk melakukan tiga kali pembersihan di premis masing-masing setiap hari.


Timbalan Yang Dipertuanya, Muhammad Hafiz Shaari berkata, pihaknya kerap menerima aduan orang awam dan ahli majlis mengenai tahap kebersihan dan kekotoran premis makanan 24 jam di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.


Katanya, sebelum ini tiada sebarang jadual atau arahan pembersihan  standard ditetapkan mengenai tatacara atau prosedur yang bersesuaian bagi tujuan pembersihan premis 24 jam.


Beliau berkata, MPSepang menjalankan kajian serta mengambil inisiatif bagi merangka dan menetapkan satu panduan jadual pembersihan khas bagi restoran dan kedai-kedai yang beroperasi 24 jam.


“Ia bertujuan bagi mewujudkan satu prosedur pembersihan yang menjadi rujukan pemilik premis dan restoran 24 jam sekali gus mendidik amalan mementingkan kebersihan dalam kalangan pekerja dan pemilik premis.


“Jadual ini menekankan tiga elemen sesi pembersihan yang perlu dijalankan di kedai makan 24 jam masing-masing iaitu sesi 1 (pagi), sesi 2 (petang) dan sesi 3 (malam). Pada setiap sesi pembersihan operator perlu menghentikan operasi bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan,” katanya.


Beliau berkata, langkah-langkah pembersihan melibatkan pembersihan ruang makan , tandas, ruang dapur dan ruang basuh tangan  serta singki.


“Jadual pembersihan premis 24 jam ini merupakan pertama kali dirangka dan merupakan inisiatif MPSepang bagi merealisasikan moto Bersih, Hijaudan Sejahtera,’ katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]