Umno kini kembali kepada fitrahnya

in Politik by


SEBERANG JAYA – Umno kini dilihat telah kembali kepada fitrah di awal penubuhannya yang diterajui golongan muda dalam mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti itu.


Calon Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Umno yang ditubuhkan di Semenanjung Malaysia telah dijulang anak muda sebagai pejuang parti dan ia disukai oleh golongan itu.


Menurutnya, jika dilihat kepada senario politik masa ini, Umno digambarkan seperti kembali ke asal dengan hanya mempunyai dua rakan di dalam BN iaitu MCA dan MIC.


“Tertubuhnya Umno di semenanjung dahulu, kita hanya ada dua rakan iaitu MCA dan MIC. Dan hari ini, hanya dua parti ini sahaja yang kekal, dan semua di Borneo telah pergi meninggalkan kita. Ia kembali kepada fitrah. Dahulunya kita dijulang anak-anak muda demi sebuah perjuangan, dan kini kita kembali seperti itu.


“Ini didamba dan disukai golongan muda. Bangkitnya Umno dahulu disebabkan pemimpin dari golongan muda. Seperti contoh, ketika Umno ditubuhkan, Tun Razak hanya berusia 24 tahun, Tunku Abdul Rahman jadi presiden Umno, beliau berusia 46 tahun,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam rancangan FB Live Sinar Harian, hari ini.


Menurutnya, kesemua yang berlaku sejak kebelakangan ini mungkin petunjuk bahawa Umno perlu kembali kepada fitrahnya dalam mengembalikan sokongan rakyat.


“Dengan apa yang berlaku dalam pilihan raya lepas, ini mungkin petunjuk Umno perlu kembali kepada fitrah. Dan saya fikir, inilah fitrah terbaik di bulan yang baik ini. Dengan adanya pemilihan pemimpin dan presiden baru ini nanti, ini lah masanya kita memilih pemimpin yang bukan di kalangan yang disukai orang Umno.


“Sebaliknya, rakyat mahu lihat pemimpin yang boleh memimpin dan diterima oleh mereka. Jika kita pilih pemimpin yang disukai di kalangan orang Umno tetapi rakyat tidak terima, maka Umno akan lebih teruk dari apa yang berlaku sekarang ini,” katanya.


Tambah Ahli Parlimen Kepala Batas itu, beliau amat bersyukur apabila tidak ada kekebalan untuk tidak ditandingi dalam pemilihan Umno kali ini.


“Inilah proses orang-orang muda suka. Mereka suka ada pilihan dan kali ini, kita ada tiga selera yang berbeza. Ia bagi membawa Umno dilihat lebih baik dalam mengembalikan kepercayaan rakyat. Sebab itu, pemimpin lama perlu memberi laluan kepada orang muda.


“Tetapi kesedaran ini tidak berlaku di semua tempat. Ada yang merasakan mereka perlu beri laluan kerana kepimpinan mereka tidak tepati citarasa kini (outdated). Tetapi ada yang rasa mereka perlu teruskan. Macam saya, saya pun akan jadi ‘outdated’ dan perlu bersedia untuk ada pelapis apabila sampai waktunya,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]