Veteran dakwa pemimpin senior taja pertandingan jawatan

in Politik by


KUALA ROMPIN – Pertandingan merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Rompin tidak sepatutnya berlaku kerana Umno kini dilihat dalam keadaan ‘tenat’.


Itu luahan Presiden Veteran Umno Parlimen Rompin, Datuk Abdul Rahim Ibrahim yang kecewa selepas mendapat tahu perkara itu.


Lebih mengecewakannya apabila Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin akan ditentang oleh seorang anak muda, Mohd Haris Lutfi Abd Khalib.


Beliau mendakwa pertandingan itu sengaja ditaja pemimpin senior Umno bahagian.


 “Mereka sepatutnya memberi nasihat dan pandangan supaya pertandingan tidak berlaku bagi memastikan Umno Bahagian Rompin tetap kukuh di bawah kepimpinan Datuk Seri Hasan Arifin. Bukan tak boleh ada pertandingan tapi biar logik dan munasabah.


“Apa yang berlaku seolah-olah sengaja mempermainkan Umno dan melaga-lagakan pemimpin untuk melepaskan geram peribadi  individu tertentu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.


Abdul Rahim berkata, Mohd Haris Lutfi sepatutnya sedar siapa lawannya dan jangan cepat terpengaruh dengan jolokan pemimpin tertentu yang mahu melihat Umno Rompin berpecah belah.


Tegasnya, bekas Ketua Penerangan Pemuda Umno Rompin itu sepatutnya bertanding di peringkat Pemuda, bukan bahagian kerana usianya masih perlu belajar untuk memimpin Bahagian.


“Kita harap jadi pengajaran kepada mereka yang mahu bertanding, jangan ikut rasa, pastikan pertandingan ada sesuatu yang baik.


“Untuk pulihkan Umno amat sukar kerana kepimpinan yang sepatutnya sokong tapi sebaliknya nampak seperti mahu menghancurkan parti,” katanya.


Tegasnya, jika keadaan ini berterusan siapa pun bakal menjadi Presiden Umno tidak akan dapat memulihkan parti.


“Begitu juga di peringkat pusat ramai yang bertanding presiden kali pertama dalam sejarah. Ia seolah-olah mempermainkan pemilihan.


“Bagaimana pun saya tetap menaruh harapan tinggi supaya pemilihan kali ini dapat berjalan lancar dan tidak timbul perpecahan dalam kalangan ahli parti selepas selesai pemilihan,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]