Yang penting England dapat laluan mudah – Southgate

in Sukan by


PENGENDALI England, Gareth Southgate mempertahankan keputusannya yang menurunkan pemain simpanan ketika menentang Belgium yang menyaksikan mereka tewas 0-1 dalam aksi terakhir Kumpulan G.


Southgate merehatkan sebilangan besar pemain yang sudah beraksi dalam dua perlawanan sebelum ini bertemu Tunisia dan Panama termasuk penggempur prolifik mereka, Harry Kane.


Kekalahan itu membolehkan skuad The Three Lions menamatkan saingan sebagai naib juara dan akan menempah pertemuan menentang Colombia, Rabu nanti.


Meskipun kecewa dengan kekalahan itu, namun beliau melihat ianya dari sudut positif terutama selepas skuad bimbingannya memperoleh laluan lebih mudah pada aksi kalah mati.


Malah bagi Southgate, apa yang penting pemain utama England cergas sepenuhnya menjelang perlawanan pusingan kedua.


“Kami tidak suka kalah tapi apa yang berlaku di pusingan kalah mati, bagi saya ini adalah keputusan paling tepat.


“Orang ramai hanya akan berkata begitu sekiranya kami menang tetapi bagi saya ia keputusan tepat kerana kami mungkin terpaksa menempuh perlawanan sukar termasuk perlu beraksi pada masa tambahan pada perlawanan seterusnya dan saya tidak mahu mengambil sebarang risiko.


“Lagipun saya tidak mahu pemain utama termasuk Kane cedera kerana aksi pusingan kalah mati adalah perlawanan terbesar kami pada dekad ini,” katanya.


Sekiranya berjaya mengatasi Colombia, England dilihat memperoleh laluan lebih mudah di suku akhir dengan bertemu pemenang antara Sweden atau Switzerland sementara Belgium selaku juara Kumpulan G akan bertemu Brazil atau Mexico dengan pasukan pilihan seperti Portugal, Uruguay, Perancis dan Argentina berada dalam laluan undian mereka.


Kali pertama menerima kritikan, Southgate berkata, beliau sememangnya sudah bersedia untuk berdepan situasi seperti itu.


“Kadangkala anda perlu melihat kepada skala lebih besar dan melakukan keputusan yang pastinya akan menerima kritikan. Tapi mereka yang berada dalam bilik persalinan memahami apa yang kami lakukan,” ujarnya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]