Abdul Hamid dipilih terajui Umno Kuantan

in Edisi by


KUANTAN – Bekas Timbalan Umno Bahagian Kuantan, Datuk Seri Abdul Hamid Mohd Nazahar menepati ramalan apabila ‘naik pangkat’ selepas dipilih untuk menerajui Umno Bahagian itu menggantikan Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian di sini, hari ini.


Abdul Hamid yang memperoleh 284 undi menewaskan pencabarnya, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif yang juga Adun Inderapura (125 undi).


Sementara itu, Wan Adnan yang melepaskan jawatannya sebagai ketua bahagian dan memilih untuk bertanding tiket timbalan menang dengan 287 undi mengalahkan Mohd Sharir@Mohd Shahair  Abdullah yang mendapat 121 undi.


Manakala Naib ketua Umno bahagian itu dimenangi bekas Ketua Pemuda Umno Kuantan, Nara@Nikman Nordin yang menang tanpa bertanding.


Pada pemilihan itu, 20 ahli jawatankuasa Umno bahagian turut dipilih bagi membantu memantapkan umno bahagian.


Pada mesyuarat tersebut, 410 perwakilan dari Dun Inderapura, Tanjung Lumpur dan Teruntum hadir menunaikan tanggungjawab untuk mengundi calon pilihan masing-masing.


Sementara itu, Abdul Hamid ketika ditemui berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada akar umbi termasuk memperkasakan tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri Umno termasuk di peringkat cawangan.


Menurutnya, beliau dapat rasakan semangat ahli Umno akar umbi semakin subur dan boleh dijadikan jambatan dalam menjuarakan pandangan rakyat yang mungkin kesal yang situasi yang berlaku sebelum ini.


“Situasi pemilihan hari ini nampak berbeza berbanding  pemilihan yang lepas-lepas kerana ini pertama kali kita memilih pucuk pimpinan ketika Umno menjadi pembangkang. Kita lihat keceriaan tidak seperti dahulu tetapi kehadiran perwakilan agak baik.


“Walau bagaimanapun Umno mesti mengorak langkah menjalankan gerak kerja dengan betul  dan tidak lagi seperti dulu  dengan program syok sendiri,” katanya ketika ditemui selepas pemilihan tersebut.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]