Azhari kekalkan kuasa walau menang tipis

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Datuk Azhari Shaari berjaya mengekalkan jawatan Ketua Umno Bahagian Shah Alam bagi penggal kedua dalam pemilihan perwakilan sesi 2018/2021, semalam.


Azhari bagaimanapun menang tipis dengan majoriti sembilan undi dalam pertembungan tiga penjuru itu.


Azhari memperoleh 196 undi menewaskan calon terdekat, Datuk Ahmad Mua’adzam yang hanya mendapat 187 undi, manakala Datuk Ahmad Safri Hanifullah dengan hanya 134 undi.


Selain itu, dalam pemilihan ketua bahagian yang melibatkan 521 perwakilan itu, sebanyak empat undi didapati rosak.


Sementara itu, jawatan bagi Naib Ketua Bahagian dan Timbalan Ketua Bahagian bagi penggal ini turut menampilkan muka baharu.


Bagi jawatan Naib Ketua Bahagian, Wan Indra Putra Ahmad menang dengan menewaskan penyandang terdahulu, Datuk Nor Hisham Ses, manakala kerusi Timbalan Ketua Umno Bahagian yang baharu kini digalas Azman Mat Isa yang mengalahkan Datuk Abdul Rahim Mat Sah.


Azhari ketika ditemui berkata, beliau bersyukur dengan kemenangan tersebut kerana dipilih sekali lagi untuk menggalas tanggungjawab sama.


Beliau berkata, kemenangan itu membuktikan kepercayaan serta sokongan dari akar umbi terhadap dirinya dan Umno Bahagian Shah Alam masih kuat.


“Alhamdulillah perwakilan dapat menilai prestasi saya dalam penggal sebelum ini dan mahu saya terus memimpin pada kali ini.


“Dalam masa terdekat,  saya akan kumpulkan semua rakan-rakan termasuk dua calon yang bertanding bersama saya,  untuk kita rapatkan saf dan bincang kedudukan mereka sama ada akan terus bersama dalam barisan baru ini atau terpulang pada bentuk sokongan yang mereka ingin bekerjasama nanti, ” katanya bertekad untuk lebih aktif sebagai pembangkang selain fokus dalam perjuangan menuju PRU15.


Sementara itu,  Azman pula tidak menyangka penyertaan pertamanya untuk bertanding jawatan timbalan ketua membuahkan hasil apabila mendapat sokongan padu dalam pemilihan kali ini.


“Saya akan fokus untuk pengukuhan parti serta ahli di peringkat cawangan dan organisasi.


“Kita akan pastikan pengkaderan serta mencari ahli Umno yang berkualiti termasuk mencari jalan untuk memulihkan kepercayaan rakyat dan ahli kepada parti, “katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]