Dua rakyat Palestin maut ditembak tentera Israel

in Global by


BAITULMAQDIS – PALESTIN. Tentera Israel menembak mati dua warga Palestin, salah seorang daripada mangsa berusia 14 tahun serta mencederakan 415 yang lain menggunakan peluru hidup dan gas pemedih mata semasa protes di sepanjang sempada Gaza, semalam.


Pegawai kesihatan Gaza berkata, mangsa dikenali sebagai Yasser Abu al-Naja dan Mohammad al-Hamayda, 24.


Empat mangsa lain yang cedera akibat terkena peluru hidup berada dalam keadaan kritikal.


Jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kaedah berkesan bagi menyuraikan perusuh.


Dalam sesetengah kes katanya, apabila cara ‘lembut’ tidak berkesan, maka penggunaan peluru hidup ‘terpaksa’ digunakan tanpa melanggar prosedur operasi standard (SOP).


Tambahnya, beribu-ribu rakyat Palestin mengambil bahagian dalam rusuhan yang sangat ganas dengan melancarkan bom tangan, batu ke arah tentera dan membakar tayar di pagar sempadan.


Tentera berkata, kematian warga Palestin itu akan disiasat dan tindakan undang-undang boleh diambil jika sesuai.


Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra berkata, sehingga kini 135 rakyat Palestin terbunuh dan 14,000 lagi cedera sejak tunjuk perasaan ‘Perarakan kepulangan besar-besaran’ bertujuan menuntut hak kembali ke kampung halaman yang diramas rejim Zionis, bermula 30 Mac lalu. -Reuters


Source: SH Global

[featured-video-plus]