Idris Haron, Ahmad Razif tewas Ketua Bahagian Umno

in Politik by


KUALA LUMPUR – Pemilihan Umno Bahagian hari ini menyaksikan kejutan dengan beberapa nama besar tumpas dan gagal mempertahankan kerusi berkenaan kepada pencabar masing-masing.


Penyandang Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, tewas kepada Naib Ketua Bahagian Apli Yusof dalam perebutan jawatan itu pada pemilihan parti hari ini.


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Idris Haron juga gagal mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu.


Bekas Ketua Menteri Melaka itu, yang menyandang jawatan berkenaan selama dua penggal, hanya memperoleh 151 undi apabila ditewaskan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Umno Tangga Batu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang mendapat 353 undi.


Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Bentong yang disandang sejak 1987 selepas memperoleh 296 undi untuk menewaskan pencabarnya Kapten (B) Shamsuddin Moner yang mendapat 51 undi.  – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]