Kaji penggunaan alat peranti elektronik di sekolah

in Nasional by


IPOH – Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula cadangan untuk membenarkan pelajar menggunakan alat peranti elektronik ke sekolah bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PDP).


Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya akan menjalankan kajian menyeluruh meliputi pelbagai aspek terhadap keperluan dan manfaatnya kepada pelajar.


“Perkara itu masih dalam kajian kerana kita akan melihat kepada isu-isu keselamatan pertamanya dan isu prasarana yang cukup.


“Kita tidak mahu dengan adanya gajet ini, perisian yang digunakan tidak lengkap, rangkaian internet jalur lebar rendah atau pun pelajaran itu sendiri tidak mesra dengan teknologi yang ada. Jadi ia perlu berjalan dengan seiring,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Pendidikan bersama pelajar politeknik dan pelajar kolej komuniti serta Pra Pelancaran Sambutan Jubli Emas Politeknik Malaysia di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini, hari ini.


Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz dan Timbalan Pengarah Akademik PUO, Muhammad Zubir Mohd Hanifah.


Maszlee berkata, kriteria itu penting bagi memastikan pelajar dapat manfaat daripada penggunaan alat peranti elektronik itu secara keseluruhan.


“Kalau kita tekankan mengenai penggunaan gajet sahaja, kontraktor yang akan mendapat keuntungan tetapi pelajar tidak mendapat faedah.


“Apa-apa yang kita buat, ia perlu bersifat holistik dan berdasarkan kepada kelancaran pelajaran itu secara komprehensif,” katanya.


Tahun lalu, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercadang memperkenalkan dasar bagi membenarkan penggunaan alat peranti elektronik di sekolah seiring dengan pembangunan teknologi semasa.


Menyentuh isu lain, Maszlee berkata, beliau bersikap terbuka kepada mana-mana pihak yang sedia membantu berhubung pembinaan lapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).


Kelmarin, kementeriannya mengumumkan untuk meneliti semula sekolah berkenaan berdasarkan situasi kewangan semasa dan isu ketelusan selain meneruskan perpindahan enam SJKC yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu.


“I will open my hand to everybody who wants to help, for the betterment of the nation (Saya menadah tangan kepada semua pihak yang sedia membantu, demi kebaikan negara),” ringkasnya.


Beliau mengulas soalan wartawan sama ada beliau akan menerima bantuan yang diberikan oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kepada kementerian untuk memastikan pembinaan sekolah terbabit akan diteruskan tanpa melibatkan pertambahan kos.




 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]