Mohd Rofaie buat kejutan sertai Bersatu

in Edisi by


TEMERLOH – Sebelum ini namanya dikaitkan akan mencabar penyandangnya, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin untuk merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Temerloh yang disandang Mohd Sharkar sejak 2008.


Namun Datuk Mohd Rofaie Mohd Hamdan, 46, itu bertindak menarik diri sebelum pemilihan semalam dan mengumumkan keluar Umno dan menyertai Bersatu.


Bekas Ketua Cawangan Pengkalan Jaya itu menafikan tindakannya keluar Umno kerana gentar ataupun atas kepentingan peribadi.


Sebaliknya, setelah berfikir secara mendalam beberapa hari selain berdepan tekanan yang turut dihadapi rakan-rakan, akhirnya beliau mengumumkan keluar Umno dan memilih Bersatu.


“Ya memang sebelum ini saya ada menawarkan diri untuk bertanding Ketua Bahagian.


“Tetapi berasakan amat sukar untuk ubah mentaliti mereka yang dalam Umno dan saya lihat Bersatu sesuai dengan matlamat perjuangan untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera,” katanya dalam sidang media hari ini.


Hadir sama, Pengerusi Bersatu Pahang, Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil, Ketua Srikandi Pahang merangkap Ketua Wanita Pakatan Harapan (Harapan) Pahang, Zuliana Mohamed dan Setiausaha Bersatu Bahagian Jerantut, Norhisham Asaludin.


Mohd Rofaie juga anak kepada bekas Adun Kuala Semantan, Datuk Mohd Hamdan Sudin menegaskan dirinya tidak ditawarkan sebarang jawatan dalam Bersatu dan menafikan untuk meraih jawatan tinggi dalam parti tersebut.


“Saya kecewa dengan apa yang berlaku dalam Umno kerana biarpun sudah kalah dalam PRU14 lalu tetapi mentaliti itu masih belum berubah sepenuhnya.


“Jadi saya memilih Bersatu kerana visi mereka jelas dengan hak Melayu dan Bumiputera dan parti ini dapat memenuhi aspirasi saya untuk berkhidmat dan berjuang untuk rakyat.


“Selain saya, ada lebih kurang lagi 30 orang daripada beberapa NGO dan ahli Umno lain yang akan mengikut jejak sama,” dakwanya lagi.


Selain bergelar Ketua Cawangan, Rofaie juga pernah menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Penyelaras Dun Kuala Semantan dan Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Temerloh.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]