Presiden: Umno Bagan Serai pilih KJ

in Politik by


BAGAN SERAI – Umno Bahagian Bagan Serai mencalonkan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi pertandingan jawatan Presiden parti itu di peringkat pusat hari ini.


Ketuanya, Datuk Sham Mat Sahat berkata, pencalonan dibuat susulan undi perwakilan Umno bahagian itu kepada Khairy Jamaluddin atau KJ adalah yang tertinggi iaitu 266 undi, berbanding pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memperoleh 203 undi dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah(50).


Menurutnya, bagi pencalonan jawatan Timbalan Presiden Umno, Umno bahagian itu memilih bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan setelah menerima undian tertinggi.


“Seterusnya, pencalonan untuk jawatan Naib Presiden Umno, kami memberi undi tertinggi kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Mahdzir Khalid,”katanya kepada media di sini hari ini.


Dalam perkembangan lain, Sham berjaya mengekalkan jawatan Ketua Umno bahagian bagi dua penggal berturut-turut setelah pencabarnya, Abdul Karim Hussin Kadir mengambil keputusan menarik diri sebelum proses pengundian bermula pagi tadi.


Jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian pula dimenangi Adun Selinsing, Mohammad Noor Dawoo tanpa sebarang pertandingan, manakala kerusi Naib Ketua Umno bahagian dimenangi bekas calon BN Dun Gunong Semanggol PRU14, Zaini Cha.


Zaini memenangi kerusi nombor tiga itu setelah mengenepikan cabaran dua lagi pencabarnya iaitu dua bekas Ahli Jawatankuasa Umno bahagian, Shahariman Abdul Manap dan Datuk Ayob Bahari.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]