Rosol sumpah al-Quran undi Ghazali

in Edisi Terengganu by


HULU TERENGGANU – Tular di laman sosial termasuk ‘facebook’, kelmarin, video Ahli Parlimen Hulu Terengganu (BN), Datuk Rosol Wahid sumpah dengan al-Quran mengundi calon BN bagi kerusi Dun Ajil pada PRU14 lalu.


Video berdurasi 22 saat itu memperlihatkan Rosol yang berbaju Melayu, berkain pelikat dan bersongkok bersumpah memberi undi kepada Doktor Ghazali Taib yang juga penyandang kerusi Ajil.


Mengulas mengenai video tersebut, Rosol yang bertanding jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu pada pemilihan kali ini memaklumkan sumpah itu dilakukan demi membersihkan nama serta maruah beliau sekeluarga.


“Saya buat (sumpah al-Quran) ketika berikan penerangan di Kampung Kota, Manir dua malam lepas setelah macam-macam fitnah pada saya menjelang pemilihan hari ini. Jadi, saya rasa perlu dibersihkan.


“Sumpah dengan al-Quran itu bukan kerana hendak jawatan(timbalan ketua Umno bahagian Hulu Terengganu). Saya bukanlah seorang yang mengejar atau lapar jawatan dan pangkat.


“Dua kali bertanding sebagai calon dalam PRU sebelum ini, saya bukanlah sesiapa yang ada jawatan. Pada tahun 1999, ketika bertanding sebagai calon BN kerusi Dun Ajil,  saya cuma seorang guru tiada jawatan di Bahagian Hulu Terengganu.


“PRU14 baru-baru ini saya disenaraikan kembali sebagai calon tetapi bagi kerusi parlimen(PRU13 digugurkan sebagai calon), saya cuma ahli jawatankuasa Umno Bahagian Hulu Terengganu sahaja,”katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian sewaktu Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu 2018-2021 di perkarangan Pejabat Dun Telemong, di sini, hari ini.


Tambah Rosol yang juga bekas Adun Ajil selama tiga penggal bermula tahun 1999, tuduhan dilemparkan padanya setelah beliau tawarkan diri bertanding jawatan timbalan ketua bahagian pada pemilihan kali ini kerana ingin jadi calon PRU akan datang adalah satu kesilapan.


“Saya bukan orang begitu dan bertanding pemilihan kali ini bukan kerana kejar jawatan atau ingin jadi calon. Selepas PRU14, ada orang yang mainkan isu saya pengkhianat parti dan punca kekalahan BN di tiga kerusi Dun.


“Tuduhan itu kian diperkatakan menjelang pemilihan hari ini melalui ceramah, facebook dan juga whatsapp. Saya rasa ia telah mencabar maruah, Umno yang telah banyak berbudi pada saya…dituduh saya seorang pengkhianat.


“Atas alasan itu dan nasihat serta pendapatan kawan-kawan, dalam sejarah hidup di usia 54 tahun ini saya sumpah dengan al-Quran kerana ia satu perkara besar melibatkan maruah saya dan keluarga, ” ujarnya.


Kata Rosol lagi, keputusan itu (sumpah) bukan kerana inginkan jawatan tetapi mahu bersihkan namanya sekeluarga sekali gus buktikan tuduhan pengkhianat dilemparkan orang berkenaan kepadanya adalah silap.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]