Siasat akaun Umno mengikut Akta Amla tak wajar: Shahrir

in Nasional by


JOHOR BAHRU – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) membekukan akaun Umno untuk disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) tidak wajar kerana akta berkenaan tidak seharusnya digunakan untuk parti politik.


Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata ia seolah-olah memberi gambaran buruk bahawa hasil dana parti Umno diperoleh daripada kegiatan jenayah.


Menurutnya, Umno dan BN jadi sasaran seolah-olah pelaksanaan tindakan undang-undang sedangkan undang-undang yang digunakan tidak dirangka untuk parti politik.


“Ini kerana parti politik sememangnya memiliki dana politik yang diperoleh salah satunya daripada sumbangan dana dari pelbagai pihak, dalam pelbagai bentuk seperti cek dan tunai,” katanya pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Johor Bahru, di sini, hari ini.


Shahrir berkata akta berkenaan seharusnya digunakan dalam menyiasat entiti yang terlibat di dalam kegiatan terorisme, dadah serta jenayah dan bukannya Umno.


“Erti pengubahan wang haram adalah kegiatan ‘mencuci’ wang hasil jenayah untuk digunakan bagi tujuan lain yang sah. Jadi, saya melihat ada percanggahan undang-undang di situ.


“Adakah ini bermakna semua dana parti politik adalah hasil jenayah? Sampai ia perlu disiasat sebegitu?,” katanya.


Menurut Shahrir, Umno juga akan melihat lebih lanjut perkara ini dan akan mencari cara melalui undang-undang bagi mencabar pelaksanaan siasatan berkenaan.


“Kita pada hari ini masih sibuk dengan pemilihan pimpinan dan anggota jawatankuasa di peringkat bahagian dan pusat tetapi selepas ini kita akan tengok cara (perundangan) yang sesuai,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]