Siasat projek Adax: Gobind

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia  Gobind Singh Deo mengarahkan siasatan penuh terhadap projek ‘Asean Data Analytics eXchange (Adax)’ yang dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ekoran kebimbangan yang disuarakan berhubung projek berkenaan.


​​​Beliau berkata pihak kementerian menerima banyak pertanyaan tentang projek itu yang bertujuan membangunkan ekosistem serta mewujudkan sebuah kelompok bakat penting dalam kategori analitik data raya.


“Persoalan yang ditimbulkan antara lain berkaitan sama ada wujud ataupun tidak percanggahan kepentingan antara pengurus program berkenaan dengan penyedia latihan.


“ Siasatan sedang dijalankan oleh MDEC berhubung perkara ini. Saya dimaklumkan bahawa MDEC telah juga memohon bantuan Jabatan Audit Negara untuk melakukan audit tentang projek itu dan ianya sedang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Gobind berkata laporan lengkap tentang projek berkenaan dijangka dikemukakan kepadanya dalam tempoh terdekat,


​​​Buat masa sekarang, katanya tiada sangkaan terhadap sebarang perbuatan salah laku ataupun kesalahan dilakukan oleh seseorang dalam perkara itu.


“Bagaimanapun saya ingin menegaskan sekali lagi tentang komitment saya dalam memastikan wujudnya ketelusan dan integriti dalam urusan semua jabatan dan agensi di bawah bidang kuasa kementerian saya.


“Sekiranya siasatan menunjukkan wujud apa juga salah laku atau kekurangan, maka tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang berkaitan,” tambah beliau. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]