Sogok untuk sokongan bukan cara Harapan: Tun M

in Nasional by


LANGKAWI – Kerajaan Pakatan Harapan akan menawarkan perkhidmatan yang boleh memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat untuk meningkatkan lagi taraf hidup mereka, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Katanya, ini berbeza sekali dengan pendekatan kerajaan lepas yang lebih cenderung untuk memberikan sogokan kewangan bagi mendapatkan  sokongan rakyat.


“Bukan cara kita untuk menghulurkan sogokan kepada rakyat dengan harapan sokongan akan diberikan oleh rakyat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Langkawi di Dewan Kompleks Sukan Lada  di sini.


Katanya, kemenangan beliau sebagai AHLI Parlimen Langkawi dan dua orang lagi calon Harapan, iaitu Juhari Bulat sebagai Adun Ayer Hangat dan Mohd Firdaus Ahmad sebagai Adun Kuah, menjadi bukti rakyat di Langkawi tidak mudah dipengaruhi taktik sogokan yang digunakan oleh BN dalam pilihan raya lepas.


“Saya dengar dalam pilihan raya lepas Barisan Nasional membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menawan hati pengundi tetapi percubaan ini gagal dan rakyat tetap memilih Pakatan Harapan,” katanya.


Dr Mahathir yang diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di majlis itu, berkata kemenangan Harapan di Langkawi dalam PRU14  akan menjadi asas kepada  usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di pulau ini yang telah sekian lama bergantung kepada industri pelancongan sebagai sumber pendapatan utama mereka.


Katanya industri ini  membolehkan kira-kira 3.5 juta pelancong untuk  datang ke Langkawi setiap tahun dan banyak memanfaatkan rakyat tempatan.


“Kita perlu menambah lebih banyak hotel dan restoran  bagi menampung permintaan pelancong yang semakin ramai dan orang tempatan dapat terlibat dalam usaha ini,” katanya.


Mengenai penganjuran rumah terbuka Aidilfitri itu, Dr Mahathir berkata ia sebagai tanda penghargaan beliau dan Pakatan Harapan kepada rakyat yang membolehkan kemenangan mereka dalam pilihan raya lepas.


“Kita akan sentiasa mencuba mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dengan cara membuka lebih banyak peluang lagi kepada mereka,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]