SPRM tidak aniaya Umno

in Politik by


KOTA BHARU – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun kewangan Umno bukan berniat menganiaya parti itu.


Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan itu dilakukan kerana ia melibatkan proses penyiasatan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  yang didapati ada penyaluran wang daripada akaun tertentu.


Beliau berkata,  penyiasatan itu  melibatkan akaun badan perhubungan dan ibu pejabat Umno kerana akaun RM2.6 bilion dikatakan dana politik yang diwujudkan presiden sebelum ini.


“Beberapa pengerusi perhubungan sudah dipanggil untuk membuat pengesahan adakah benar ada terima wang daripada akaun-akaun tertentu.


“Kita perlu bekerjasama kepada SPRM sepenuhnya sebab kita sudah  tiga tahun polemik 1MDB berlegar..kita mahu kebenaran, kebenaran  tidak dapat ditentukan secara mutlak selagi tidak dapat diputuskan di mahkamah.


“Jadi kalau ada perkara yang menyalahi undang-undang sudah tentu proses undang-undang atau ‘rule of law’ perlu ambil tempat tanpa memilih bulu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Mesyuarat Perwakilan Ketereh, hari ini.


Sebelum ini, SPRM bertindak membekukan 900 akaun yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1MDB termasuk Umno Selangor dan Johor.


Annuar dalam masa yang sama berkata,  pihaknya bakal melantik panel peguam untuk melihat sudut undang-undang  dalam konteks yang dibenarkan serta  bertujuan berurusan dengan SPRM.


“Kita harus memberi kerjasama, pembekuan itu bukan selama-lamanya, pembekuan itu adalah sebahagian daripada proses penyiasatan.


“Sebenarnya dalam undang-undang kita dibolehkan jika ada keperluan untuk menggunakan dana-dana tersebut bagi perkara rutin dan biasa, kita boleh membuat permohonan kepada mahkamah dan SPRM dengan kemukakan asas-asas,” katanya.


Mengulas saranan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mencadangkan Umno menubuhkan tabung khas, Annuar berkata, perkara itu boleh dipertimbangkan.


“Mungkin itu satu cadangan yang boleh dipertimbangkan sekiranya sampai satu tahap langsung menyebabkan kita tidak boleh bergerak,”katanya.


“Tetapi saya yakin SPRM  tidak berniat begitu, badan itu hanya membekukan akaun tersebut ada kaitan penyaluran dana daripada akaun yang sedang disiasat,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]