Umno Kelantan sangkal dakwaan tak mampu berubah

in Politik by


JELI – Umno Kelantan menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang berpendapatan parti itu tidak akan berubah walaupun dibarisi kepimpinan baharu.


Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya yakin sesiapa pun yang menang pada pemilihan kali ini mempunyai kesedaran tinggi untuk memulihkan kembali keadaan.


“Tak benar, kita ada semangat yang tinggi. Kita sedar kita buat salah dan ada kelemahan, makin lama kita ada semangat memperbaiki keadaan. Kita kalah ada hikmahnya, kalau presiden dan timbalan presiden baru tak mampu ubah, maka tamatlah riwayat Umno.


“Tapi saya yakin mereka yang dipilih adalah tokoh belaka, berpengalaman. Siapa yang menang kita yakin ada kesedaran tinggi untuk buat perubahan, kita tahu kelemahan kita, parti tak boleh pulih kalau tak buat perubahan,” katanya kepada media di sini, hari ini.


Mustapa berkata, setiap pemimpin mempunyai kelebihan dan keupayaan untuk memberikan yang terbaik.


“Kita pula kena bersatulah, tak cukup hanya presiden dan timbalan presiden, perhubungan negeri dan bahagian juga kena serius. Kena ubahlah, majlis tak perlu besar- besar, kena ala kadar sahaja,” katanya.


Beliau berkata, presiden juga perlu mengubah pendekatan dengan memastikan barisan kepimpinan mengutamakan semangat juang tanpa mengharapkan habuan.


Sementara itu, mengulas mengenai pembekuan akaun Umno, Mustapa mengakui agak meresahkan ahli kerana ia penting bagi membantu pergerakan mereka.


“Tak tahu apa status tak ada maklumat, kita serah kepada ALLAH. Sudah pasti ia meresahkan ahli, kewangan ini penting, setiap bahagian diberikan peruntukan bulanan untuk membantu pergerakan masing-masing.


“Kita tak tahu sampai bila, kalau sehari dua tak apa. Proses mahkamah itu lama, bila dibeku (akaun) sama ada sebulan dua bulan, tak ada siapa tahu. Wallahualam. Kalau empat tahun, memang akan merencatkan program kita, siapa saja presiden, kena fikirkan,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]