Usul tubuh wakaf khas disokong

in Politik by


JOHOR BAHRU – Usul penubuhan wakaf khas sebagai medium melindungi kepentingan aset Umno Bahagian Johor Bahru mendapat sokongan penuh perwakilannya, hari ini.


Usul yang dipersetujui majoriti 538 perwakilan daripada 92 cawangan Umno Bahagian Johor  Bahru itu bertujuan memastikan segala aset parti terbabit tidak boleh dipindah hak milik.


Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian, Md Zain Shuib berkata, usaha berkenaan juga membolehkan aset parti memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan.


Menurutnya, secara tidak lansung, aset pemilikan terbabit juga dapat diminimakan kos operasinya kerana dikecualikan daripada cukai.


“Segala aset milik Umno ini akan terpelihara sampai bila-bila untuk kegunaan umat Islam dan bagi tujuan ini, pelantikan Nazir Khas (Pemegang Amanah) seramai tiga orang akan dilantik dalam kalangan kepemimpinan bahagian untuk menguruskan wakaf ini sebagaimana kehendak Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj).


“Parti kini mempunyai banyak aset yang perlu diurus tadbir dengan baik supaya ia boleh memberi manfaat kepada ahlinya dan juga kebaikan kepada keseluruhan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Johor Bahru, di Hotel New York, di sini, sebentar tadi.


Md Zain berkata, sebanyak lima peratus hasil dan keuntungan wakaf khas berkenaan akan diserahkan kepada Bahagian Wakaf Mainj untuk disalurkan kepada golongan asnaf.


Sementara itu, perwakilan Umno Cawangan Garuda, Mohd Faiz Mohd Silvano berkata, usaha mewujudkan wakaf khas tersebut dapat memagar aset parti daripada sebarang pihak.


“Wakaf Khas ini akan melindungi pemilikan aset Umno daripada rampasan ahli politik buas, kebal daripada penyamun dan selagi Umno masih wujud, aset ini tidak boleh dipindah milik.


“Jika kerajaan cuba mengharamkan Umno, aset ini secara automatik berpindah milik kepada Mainj untuk kegunaan umat Islam umumnya,” katanya.


Dalam pada itu, Umno Bahagian Johor Bahru kini sedang melakukan proses pengundian bagi jawatankuasa peringkat Pusat dan Bahagian.


Pemilihan peringkat Bahagian Umno Johor Bahru kali ini menyaksikan penyandang Ketua Bahagian, Tan Sri Shahrir Abd Samad dicabar peguam muda dari Cawangan Bandar Baru Uda, Izzat Muhtar.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]