Ahmad Razif masih Pengerusi Umno Terengganu

in Politik by


KUALA TERENGGANU – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman masih menggalas jawatan sebagai Pengerusi Umno negeri.


Setiausaha Umno Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, ini kerana jawatan itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan dan hanya akan ditentukan oleh presiden parti.


“Jawatan Pengerusi  Umno negeri masih disandang Datuk Seri Ahmad Razif. Sebarang peralihan tugas akan ditentukan oleh presiden parti mengikut budi bicara beliau.


“Saya yakin beliau (presiden) akan turun ke Terengganu untuk berbincang dengan rakan-rakan di sini sama ada untuk kekalkan yang lama atau melantik yang baru


“Proses ini akan dibuat dalam segera, bukan hanya di Terengganu tetapi di seluruh negara,” katanya.


Menurutnya, antara jawatan yang akan ditentukan presiden parti ialah timbalan pengerusi dan jawatan-jawatan penting dalam Umno Terengganu.


Mengulas mengenai pemilihan Umno semalam, Muhammad Pehimi berkata, perjalanan pemilihan mesyuarat di lapan bahagian di negeri ini berjalan lancar.


“Perjalanan pemilihan mesyuarat berjalan lancar dan sempurna kerana proses mesyuarat dan pemilihan dipantau oleh jawatankuasa terdiri daripada wakil ibu pejabat, badan perhubungan Umno negeri selain barisan jawatankuasa dilantik bahagian masing-masing.


“Kita membenarkan wakil-wakil calon untuk bersama jawatankuasa dan petugas proses pengundian terutama ketika proses pengiraan undi,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, keseluruhan perwakilan dilihat akur dengan keputusan yang diperoleh semalam.


“Rata-rata perwakilan dan kepimpinan negeri akur dengan keputusan sama ada keputusan di peringkat bahagian Terengganu atau pemilihan di peringkat presiden, timbalan, naib dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.


“Selepas ini, calon yang menang atau kecundang akan terus bersama-sama dalam parti untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]