Anggap kemenangan peribadi walau kalah

in Edisi by


KUALA ROMPIN – Cubaan seorang anak muda, Mohd Haris Lutfi Abdul Khalib, 32, menongkah arus bagi merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Rompin dalam pemilihan Umno sesi 2018-2021 gagal.


Beliau tewas kepada Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin yang memangku jawatan berkenaan sejak 2015 selepas kematian Allahyarham Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor.


Dalam pertandingan merebut jawatan tertinggi di peringkat bahagian itu, Hasan mendapat 467 undi manakala Mohd Haris Lutfi mendapat 106 undi.


Menurut Mohd Haris Lutfi, kekalahannya itu telah dijangka namun maklum balas positif yang diterima daripada bukan ahli parti adalah di luar jangka.


Katanya, sambutan yang diberikan oleh golongan itu disifatkannya sebagai kemenangan peribadi sekali gus tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang bersama Umno.


“Kekalahan ini saya dah jangka tetapi sambutan daripada orang luar yang tak aktif dalam Umno tak kira muda atau tua ini memang di luar jangkaan.


“Mereka suka kerana ada orang muda yang berani bertanding dan ini saya anggap sebagai kemenangan peribadi selain melakar sejarah tersendiri dalam pemilihan kali ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.


Beliau yang sebelum ini merupakan AJK Pemuda dan Ketua Penerangan Umno Rompin kini hanya menyandang jawatan Timbalan Ketua Umno Cawangan Industri Batu 38, Muadzam Shah.


Bagaimana pun, beliau tidak akan patah semangat dan akan terus berjuang bersama Pemuda.


Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada perwakilan yang mengundinya dan ahli-ahli Umno di segenap peringkat yang memberi sokongan kepadanya.


“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Hasan yang telah menang dalam pertandingan ini.


“Saya harap beliau dapat mengukuhkan kembali Umno dan bersama dengan kepimpinan di peringkat akar umbi hingga pusat mengembalikan kegemilangan parti keramat ini,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]