Ayuh habiskan Tok Gajah!

in Sukan by


IPOH – Kesebelasan PKNP perlu lebih fokus dan berkeyakinan untuk berdepan Pahang pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, malam ini.


Ketua jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim berkata, pemainnya itu turut diingatkan supaya tidak melakukan sebarang kesilapan mudah terutamanya pada minit akhir perlawanan.


Malah menurutnya, pemain perlu saling berkomunikasi satu sama lain agar lebih fokus di sepanjang perlawanan.


“Pemain perlu lebih fokus dan berkeyakinan walaupun kali pertama melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA.  Oleh itu, mereka perlu elakkan kesilapan mudah disebabkan kealpaan.


“Selain itu mereka juga perlu saling berkomunikasi bagi mengatasi kegugupan dan merealisasikan hasrat melakar sejarah melangkah ke pentas final kelak,” katanya.


Sementara itu, Abu Bakar berharap supaya  kesebelasan PKNP sentiasa berwaspada di sepanjang perlawanan berdepan skuad Tok Gajah itu.


Katanya, kesebelasan pemain yang diturunkan perlu memiliki keyakinan untuk mengharungi perlawanan berkenaan.


“Kita sedar Pahang hadir selaku pasukan pilihan untuk ke final. Ini ditambah dengan kehadiran tiga pemain tonggak mereka yang tidak beraksi pada saingan separuh akhir pertama di Kuantan, Selasa lalu.


“Apa pun, kami tetap berusaha habis-habisan untuk memberikan tentangan kepada Pahang. Walaupun ketiadaan kapten, Shahrel Fikri saya percaya walau siapa pun yang diberikan peluang beraksi  dapat memberikan sumbangan yang efektif kepada  pasukan,” katanya.


REAKSI


“Status musim pertama dinaikkan pangkat ke saingan elit bola sepak negara ditambah mara kelompok empat terbaik Piala FA, satu pencapaian yang boleh dibanggakan penyokong PKNP. Malam ini masa terbaik bagi lakar sejarah di bumi sendiri di Stadium Perak, berjuanglah ketitisan peluh terakhir untuk kemenangan mutlak.”  


– Ahmad Shahrizal Ahmad Zawawi, Batu Gajah


“Ayuh pejuang muda PKNP, bangkit berjuanglah habis-habisan walaupun tanpa lagi kelibat


Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi demi lencana di dada. Pahatkanlah satu kebanggaan buat negeri Perak buktikan kepada semua kalian mampu ke pentas final Piala FA musim ini, jadikan kemenangan di Stadium Perak satu sejarah.”  


– Mohd Ezaimy Mohd Sofian, Ipoh


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]