Cadang sistem pembiayaan politik telus

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA TENGAH – Kerajaan Pakatan Harapan disaran wujudkan satu mekanisme pembiayaan politik berintegriti seperti terkandung dalam manifesto PRU14 gabungan berkenaan.


Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, tujuannya adalah untuk menyemak cadangan lalu serta menyediakan draf Akta Kawalan Pembiayaan Politik bagi membentuk sebuah sistem politik yang lebih telus.


Merujuk rampasan pelbagai barangan mewah dan eksklusif di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai contoh, beliau berkata, sistem pembiayaan politik adalah isu yang amat penting untuk diberi perhatian oleh kerajaan dan ahli-ahli Parlimen.


“Dalam konteks ini, Harapan perlu berani dan menunjukkan kepimpinan dalam membentuk satu sistem politik yang lebih terbuka, telus, dan bertanggungjawab.


“Sekaranglah masanya untuk Malaysia berubah menjadi sebuah negara demokrasi yang berfungsi,” katanya kepada Sinar Harian.


Buat masa ini, Poay Tiong berkata, terdapat kelemahan dari segi perundangan serta kawalan dalam pembiayaan politik sehingga ada ahli-ahli politik yang berjaya melepaskan diri dengan menyatakan bahawa wang korupsi adalah ‘derma’ untuk tujuan pilihan raya.


Menurutnya, perkara tersebut menyebabkan kejadian calon membeli undi dengan memberi wang serta pelbagai barangan bernilai kepada pengundi pada PRU14 lalu.


Pada masa sama, beliau turut menyelar tindakan Najib sebelum ini yang didakwa menuduh Harapan membantah dan menolak reformasi pembiayaan politik ini.


“Ketika itu beliau menjadi Perdana Menteri dan mempunyai kuasa penuh untuk mencadangkan dan meluluskan undang-undang pembiayaan politik ini,” katanya.


 


caption


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]