Isu SJKC: Kepentingan nasional perlu diutamakan

in Nasional by


SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan berhak mengambil tindakan berpandukan kepentingan nasional dalam isu pemindahan enam buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan pembinaan 10 buah sekolah tersebut yang diluluskan kerajaan terdahulu.


Setiausaha Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Hasan Mad berkata, kementerian tidak perlu melayan kepentingan segelintir pihak yang dilihat cuba mempolitikkan agenda pendidikan negara.


Menurutnya, pemikiran songsang terhadap isu tersebut menunjukkan kerapuhan rakyat dalam agenda integrasi nasional sehingga ada pihak mengutamakan kepentingan kelompok kecil yang tidak lagi relevan dengan suasana semasa.


“Jika mereka dari kelompok ini juga cintakan Malaysia Baru, sewajibnya mereka menyumbang buah fikiran bagaimana hendak mempertingkatkan integrasi nasional.Selagi integrasi nasional tidak mantap, selagi itulah kita akan bergeseran sesama kita.


“Semua isu tidak akan lagi menjadi remeh, ia akan menjadi besar atau diperbesar-besarkan  terutama isu-isu sensitif seperti isu SJKC ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.


Tambah beliau, MPM pada 24 Januari lepas turut mengeluarkan kenyataan membantah tindakan kerajaan ketika itu yang membuat keputusan menempatkan semula enam SJKC dan membina 10 SJKC baru atas dasar kepentingan politik semasa.


Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik baru-baru ini turut mengumumkan pemindahan enam SJKC akan diteruskan namun pembinaan 10 buah sekolah itu akan diteliti secara objektif dan bergantung kepada keadaan kewangan negara.


Begitupun, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong kurang senang dengan keputusan itu malah menganggap ia merupakan penganiayaan politik kepada MCA.


“Alasan yang Dr Maszlee berikan bagi menangkis tohmahan pimpinan MCA adalah munasabah. Justifikasi menempatkan semula enam SJKC perlu dikaji semula apatah lagi pembinaan 10 buah SJKC baru yang wajib dikaji secara mendalam terutamanya dari aspek integrasi nasional.


“Ada media menyiarkan rencana kononnya tindakan Dr Maszlee itu tidak boleh diterima kerana ia bercanggah dengan pendirian kerajaan semasa yang sepatutnya mengutamakan keterbukaan. Beliau (Dr Maszlee) mempunyai hujahnya tersendiri.


“Apa pun, pendirian MPM ialah menegaskan bahawa kementerian berhak bertindak atas kepentingan nasional, bukan melayan kepentingan segelintir pihak,” ujarnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]