Isu tapak sampah Bukit Payong: Kerajaan beri penjelasan

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Kerajaan akan meneruskan projek pembinaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong di Parit Sulong dekat Batu Pahat.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, berikutan itu, sesi penjelasan dan taklimat secara lanjut bersama penduduk tempatan akan diadakan.


“Pihak media juga maklum tentang ada sedikit bantahan daripada penduduk dan sebagainya tapi saya dah nasihatkan pada exco dan adun-adun kawasan untuk adakan satu sesi taklimat dengan penduduk secara lebih menyeluruh.


“Tujuannya untuk memberitahu mereka penjelasan dan bagaimana sistem di situ bekerja dan bagaimana ia tidak akan menjejaskan kesihatan mereka atau menganggu perumahan mereka dan sebagainya.


“Saya juga difahamkan mereka akan berikan saya satu memorandum pada petang ini. Saya akan berhubung terus dengan mereka dan berikan penjelasan secukup mungkin,” katanya pada sidang media bersempena lawatan kerjanya di Kota Iskandar, di sini, semalam.


Hadir sama; Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin.


Januari lalu dilaporkan projek membabitkan keluasan 42.18 hekhtar sudah dimulakan dengan kontraktor projek sudah dilantik.


Bagaimanapun, baru-baru ini, Hong Pin memaklumkan projek itu ditangguhkan seketika untuk kajian semula dibuat ke atas tapak berkenaan.


Zuraida berkata, bantahan penduduk mungkin disebabkan rakyat kurang faham tentang projek itu dan percaya pada khabar angin dan sebagainya.


“Belum ada taklimat yang betul diberikan kepada mereka. Projek Bukit Payung kita perlu gerakkan kerana kita tidak ada tapak lain di negeri untuk masa depan masyarakat Johor juga.


“Projek ini menggunakan teknologi lebih maju ke arah pengurusan sisa pepejal yang lebih efektif. Masalah lori membawa sampah hingga membawakan bau busuk juga akan kita usaha bendung,” katanya.


 




 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]