Kes kahwin budak 11 tahun tiada unsur jenayah, paksaan

in Nasional by


KOTA BHARU – Polis Kelantan mengesahkan tiada unsur jenayah mahupun paksaan dalam perkahwinan membabitkan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan budak perempuan 11 tahun di Gua Musang.


Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata, semalam pihaknya menerima laporan daripada isteri kedua lelaki itu berusia 34 tahun di Balai Polis Gua Musang, berkaitan perkahwinan suaminya dengan kanak-kanak di bawah umur.


Menurutnya, setelah meneliti laporan berkenaan, pihaknya merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan untuk tindakan lanjut.


“Tidak ada kesalahan dan pelanggaran jenayah, siasatan menjurus kepada Undang-Undang Keluarga Islam tahun 2002, iaitu kesalahan kahwin kanak-kanak bawah 18 tahun.


“Siasatan awal tiada unsur ugutan, perkahwinan dilakukan secara rela dan kedua-dua keluarga tersebut bersetuju,” katanya kepada media di pejabatnya sebentar tadi.


Din berkata, setakat ini lelaki tersebut tidak ditahan bagaimanapun pihaknya akan membuat siasatan lanjut kejadian terbabit.


“Bapa kanak-kanak dengan lelaki berkenaan adalah kenalan rapat. Lelaki itu melihat kehidupan keluarga perempuan dalam kedaifan dan berhasrat membantu dengan mengahwininya,” katanya.


Sebelum ini, beberapa keping gambar menunjukkan seorang lelaki melangsungkan perkahwinan dengan seorang budak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya tular di media sosial.


Lelaki itu, yang dikatakan berasal dari Gua Musang, didakwa melangsungkan perkahwinan di negara jiran dengan ditemani ibu bapa budak perempuan itu yang dikatakan warga negara jiran.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]