Mas Ermieyati keluar Umno

in Politik by


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan keluar daripada Umno dan menjadi ahli parlimen bebas.


Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas melihat reaksi, sentimen dan sikap sebenar ahli Umno yang masih dalam sindrom penafian termasuk harapan untuk melihat mereka memilih sekurang-kurangnya 70 peratus muka baru yang berwibawa dalam pemilihan Umno di pelbagai peringkat tidak kesampaian.


Malah, beliau turut percaya kepimpinan sedia ada masih enggan menerima kenyataan bahawa rakyat telah menolak Umno, sebaliknya mereka beranggapan parti hanyalah mangsa kebencian rakyat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata.


“Pemulihan apakah ini yang mahu dilakukan Umno sekiranya virus masih di biar berleluasa dan ubat terlalu pahit untuk ditelan?


“Ikhlas saya katakan Umno kebelakangan ini telah tergelincir dari landasan asal hingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Tindakan Mas Ermieyati itu juga menyaksikan kerusi BN berkurang kepada 51 kerusi selepas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali turut mengumumkan keluar parti sebelum ini.


BN hanya mempunyai 54 kerusi yang dimenangi pada PRU14 9 Mei lalu selepas beberapa parti komponen keluar dari gabungan tersebut termasuk parti di Sarawak yang membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).


Mengulas lanjut, kata Mas Ermieyati, beliau selepas ini mahu menjadi penegur dan penasihat kepada pihak kerajaan tanpa terikat dengan etika ahli parlimen yang mewakili sesebuah parti.


Beliau yang juga bekas Ketua Puteri Umno berkata, tindakan keluar parti itu juga membolehkan memberi fokus sepenuhnya sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah, berbahas serta berhujah di Parlimen demi menjaga hal ehwal kebajikan dan pembangunan yang sewajarnya untuk dinikmati oleh penduduk di kawasannya itu.


“Saya mahu melindungi hak-hak rakyat Malaysia sebagai ahli dewan yang efektif serta menjadi Ahli Dewan Rakyat yang bebas melangkaui sempadan keterbatasan sebagai ahli mana-mana parti yang pastinya mengikat di sana sini.


“‘Power corrupts and absolute power corrupts absolutely’ dan berlandaskan latar belakang saya sebagai bekas peguam, saya berharap untuk membuat yang terbaik bagi rakyat Malaysia untuk memastikan badan eksekutif di pantau oleh Parlimen yang efektif,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]