Mohamad Noordin Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian baharu

in Politik by


KOTA BHARU – Datuk Mohamad Noordin Awang diisytihar Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian baharu bagi penggal 2018-2021 setelah menewaskan pencabarnya, Datuk Anuar Safian dengan majoriti 238 undi.


Pada mesyuarat perwakilan bahagian yang berlangsung di Dewan DMG semalam, Mohamad Noordin memperoleh 345 undi manakala Anuar mendapat 107 undi.


Ia merupakan percubaan kedua Mohamad Noordin merebut kerusi nombor satu bahagian berkenaan setelah tewas dalam pemilihan 2013.


Penyandang terdahulu, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani tidak mempertahankan jawatan pada penggal kali ini bagi memberi laluan kepada muka baharu.


Jawatan Timbalan Ketua pula sah milik bekas Ketua Pemuda, Bakri Yusoff setelah menang tanpa bertanding berikutan seorang lagi calon, Shamshudin Yusoff menarik diri.


Sementara itu, Adnan Ismail diumumkan menang jawatan Naib Ketua setelah meraih undi tertinggi dalam pertandingan empat penjuru itu.


Beliau mendapat 280 undi berbanding tiga calon lain iaitu Mohd Zuki Safi’n (145) manakala Ahamad Mahmood dan Mohd Yunus Tahir, masing-masing hanya meraih 22 serta tujuh undi.


Seramai 476 perwakilan daripada 124 cawangan di tiga Dun iaitu Salor, Pasir Tumboh dan Demit hadir untuk mengundi pemilihan di peringkat bahagian, G7 iaitu perwakilan yang akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Pusat.


Dalam pada itu, perwakilan Umno Kubang Kerian memilih Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan Presiden dengan undian terbanyak 383 manakala Khairy Jamaluddin Abu Bakar (43) dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (21).


Bagi jawatan Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa menerima 272 undi berbanding bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan 153 undi.


Untuk jawatan Naib Presiden pula, Umno Kubang Kerian memilih Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan 364 undi disusuli Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (321) dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (187).


Source: SH Politik

[featured-video-plus]