Nak berubah tapi tak berani

in Edisi by


SHAH ALAM – Proses pemilihan Umno peringkat bahagian di Selangor menyaksikan beberapa perkembangan menarik dalam usaha untuk membawa pembaharuan dan nafas segar dalam kepimpinan parti Melayu tersebut.


Malah pemilihan kali ini juga dianggap penting kerana ia bukan sahaja dinantikan oleh ahli Umno sendiri malah seluruh masyarakat turut memberi tumpuan bagi melihat perubahan di semua peringkat kepimpinan parti itu sendiri yang sebelum ini terpalit dengan isu keyakinan rakyat.


Perkara ini bukan sahaja menjadi polemik di kalangan pemimpin peringkat atasan malah ia turut menjadi perbincangan di kalangan ahli akar umbi dalam menentukan kepimpinan baharu bagi meyakinkan semula kepercayaan rakyat terhadap Umno.


Dalam pemilihan Umno di Selangor, 10 calon penyandang bagi kerusi ketua bahagian dilihat berjaya mengekalkan jawatan masing-masing apabila sekali lagi dipilih oleh perwakilan untuk membawa misi dan visi parti yang kini menjadi pembangkang di negara ini.


Antara bahagian yang memilih untuk mengekalkan calon penyandang mereka pada kali ini adalah Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjung Karang, Selayang, Ampang, Hulu Langat, Puchong, Damansara, Klang dan Shah Alam.


Bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dilihat menang tanpa bertanding bersama dua bahagian lain iaitu Kuala Selangor (Datuk Jahaya Ibrahim) dan Kuala Langat (Zurihan Yusop).


Ketiga-tiga calon ini menang tanpa bertanding selepas tiada mana-mana pihak ingin menawarkan diri untuk mencabar jawatan tersebut.


Di samping itu, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang masih menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa juga turut berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar apabila berjaya menewaskan calon lain yang bertanding.


12 muka baharu  dipilih


Lebih menarik lagi, pemilihan kali ini juga turut menyaksikan satu perubahan dalam kepimpinan Umno Selangor apabila terdapat 12 calon muka baharu dipilih sebagai ketua bahagian di kawasan masing-masing.


Antara bahagian tersebut adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Gombak, Pandan, Bangi, Petaling Jaya, Sungai Buloh, Kapar, Kota Raja, Sepang, Kuala Langat dan Subang.


Kekalahan penyandang Ketua Umno Bahagian Sungai Buloh, Datuk Zein Isma Ismail kepada calon muka baharu, Datuk Megat Firdaouz Megat Junid ternyata merupakan satu keputusan mengejut dibuat oleh perwakilan di kawasan tersebut.


Berdasarkan rekod, Zein sebelum ini merupakan Ketua Penerangan Umno Selangor malah beliau juga turut dipilih sebagai calon BN bagi kerusi Dun Paya Jaras pada PRU14 lalu tetapi tewas di tangan calon PKR, Mohd Khairuddin Othman.


Berdasarkan keputusan pada kali ini, mampukah pemimpin yang dipilih di dalam setiap bahagian itu membawa pembaharuan kepada Umno?


Jika diimbas kembali dalam PRU14 lalu, Umno-BN ditolak oleh rakyat susulan berlakunya beberapa kes dan isu melibatkan kepimpinan tertinggi parti tersebut.


Dalam mengembalikan semula keyakinan rakyat khususnya penyokong Umno sendiri, ramai penganalisis berpendapat bahawa parti Melayu ini perlu melakukan perubahan dan transformasi secara total dalam kepimpinan di setiap peringkat.


Malah, perkara ini turut diakui oleh penyandang Ketua Umno Bahagian Klang, Datuk Nasarruddin M Zin, yang menjelaskan bahawa beliau bersama pasukannya selepas ini perlu menggembleng tenaga bagi membuat persiapan menghadapi PRU15.


“Langkah pertama yang perlu diambil ialah menyatukan semula kepimpinan Umno di semua peringkat bagi membina kekuatan baharu dalam menghadapi Pakatan Harapan (Harapan) selepas ini,” katanya.


Di samping itu, beliau yang turut berjaya mempertahankan kedudukannya pada pemilihan kali ini juga turut berhasrat untuk mencadangkan supaya Umno dapat membuat penampilan ahli-ahli baru di dalam parti tersebut.


Bersediakan Umno lakukan perubahan?


Menurut Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed, Umno Selangor perlu melihat signal daripada ahli dan perwakilan di peringkat akar umbi yang menginginkan perubahan di dalam parti tersebut.


Beliau berkata, menerusi pemilihan pada kali ini, pihaknya menyimpulkan bahawa Umno sememangnya berhasrat untuk berubah namun parti itu masih tidak berani untuk melakukan transformasi.


“Sebab itu kalau kita tengok keputusan pemilihan kali ini, kurangnya kesediaan pemimpin lama untuk berhenti dan melepaskan jawatan yang dipegang. Inilah antara faktor menyebabkan Umno mungkin menghadapi masalah,” katanya.


Tambah beliau, sikap pemimpin Umno di peringkat bahagian dan pusat yang sombong dan ego menyebabkan mereka semakin jauh daripada ahli dan masyarakat di peringkat akar umbi.


“Umno perlu berubah dan perlu dibuat drastik  untuk terus kekal relavan,” katanya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]