Pekerja asing: Kementerian perlu main lebih peranan

in Nasional by


SHAH ALAM – Kementerian Sumber Manusia harus diberi peranan lebih besar dalam pengambilan pekerja asing bagi menentukan pengambilan pada masa hadapan hanya mengikut keperluan.


Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A Balasubramaniam berkata, ini kerana kementerian itu berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menyediakan garis panduan yang menawarkan ketelusan mengenai proses pengambilan pekerja asing selain memastikan semua aktiviti pengambilan pekerja adalah selaras dengan keperluan.


“Sungguhpun perolehan pekerja asing dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri, kerajaan harus memberi bidang kuasa kepada Kementerian Sumber Manusia dari segi pengeluaran permit kepada pekerja asing.


Menerusi cara itu sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa dapat dielakkan. Jabatan Buruh di bawah Kementerian Sumber Manusia mempunyai 72 pejabat di seluruh negara dan ia lebih  menyedari tentang keperluan menggaji pekerja asing dalam tenaga kerja tertentu,” katanya.


Balasubramaniam berkata, harus ada dasar yang jelas di mana semua  pengambilan pekerja asing pada masa hadapan hendaklah berdasarkan kerajaan kepada kerajaan bagi menghapuskan peranan orang tengah.


“Amalan pengambilan yang bertanggungjawab hendaklah dengan tidak mengenakan yuran dalam mana-mana proses pengambilan, samada oleh majikan, kontraktor atau ejen dari kedua-dua negara penerima dan negara penghantar,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]