Pencuri cedera ditembak pemilik kedai

in Edisi by


KOTA BHARU – Seorang lelaki tidak sempat menikmati barang curinya apabila dia cedera ditembak di kaki ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di Bachok, semalam.


Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, lelaki berkenaan memecah masuk sebuah kedai runcit milik seorang warga emas di Pekan Jelawat, Bachok.


Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata, pemilik kedai terbabit yang berada di rumahnya mendapat tahu kedainya dimasuki pencuri setelah menerima panggilan telefon daripada rakannya.


“Pemilik kedai bergegas ke tempat kejadian, apabila sampai dia melihat seorang lelaki memecah masuk premisnya dan cuba melarikan diri,” katanya kepada media hari ini.


Din berkata, pemilik kedai berkenaan melepaskan satu das tembakan di tayar motosikal untuk menghalang lelaki tersebut meloloskan diri bagaimanapun terkena kaki kanan mangsa.


“Mangsa berjaya melarikan diri sebelum mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II kerana cedera di kaki kanan. Doktor yang membuat rawatan mendapati lelaki itu dalam keadaan mencurigakan lalu melaporkan kepada polis.


“Siasatan lanjut, polis merampas sepucuk senapang patah dan menahan pemilik kedai runcit untuk siasatan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960  kerana melepaskan tembakan sehingga mendatangkan kecederaan,” katanya.


Beliau berkata, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah waktu malam.


Menurutnya, mangsa mempunyai empat rekod kesalahan lampau masing-masing membabitkan dua kes dadah dan dua curi motosikal.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]