Politeknik Malaysia hasilkan 70 projek inovasi

in Edisi Terengganu by


MARANG – Penyelidik dari Politeknik Malaysia berjaya melaksanakan tujuh projek Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) yang mempunyai fungsi berbeza untuk masyarakat sepanjang tahun ini.


Antaranya adalah projek bagi menghasilkan mesin penyahmampatan atau penghuraian kekabu daripada hasil inovasi serta kreativiti terbaru dijalankan penyelidik dari Politeknik Kuala Terengganu.


Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohd Ismail Abdul Aziz berkata, sebanyak 70 produk PPRN dihasilkan Politeknik Malaysia untuk menyelesaikan pelbagai masalah industri sejak 2015.


Menurutnya, produk berkenaan kemudian diserahkan secara percuma kepada usahawan tempatan bagi membantu mengembangkan lagi perniagaan mereka.


“Tahun ini sebanyak tujuh produk dihasilkan dan akan ada lagi produk-produk baharu dihasilkan bergantung kepada industri yang datang pada kita dengan masalah-masalah mereka.


“Kebanyakannya kita akan selesaikan dalam tempoh tiga bulan hingga enam bulan,” katanya pada majlis penyerahan mesin penyahmampatan atau penghuraian kekabu kepada pengusaha tilam kekabu, petang tadi.


Mohd Ismail menyerahkan mesin melalui projek PPRN itu kepada Nur Hamidah Mohd Zaki, 27, dan suami, Mohd Hasimi Mahmud, 29, dalam satu majlis ringkas di kediaman pasangan terbabit, di sini.


Mesin dihasilkan itu bukan sahaja dapat menjimatkan masa tetapi dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran sektor berkaitan.


Ia dibangunkan empat pensyarah Politeknik Kuala Terengganu iaitu Tengku Azman Tengku Mahmud, Mazuki Salim, Suzana Mohd Ali, diketuai Pengarahnya, Radiah Che Su.


Projek PPRN itu adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menggalakkan program inovasi berdasarkan permintaan dalam memacu produktiviti dan mengukuhkan pembangunan ekonomi negara.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]