Puteri Umno kesal tindakan Mas Ermieyati

in Politik by


SHAH ALAM – Puteri Umno kesal dengan keputusan Datuk Mas Ermieyati Samsudin keluar daripada Umno.


Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, tidak wajar sekiranya keputusan Pemilihan Umno semalam menjadi antara penyebab Mas Ermieyati mengambil keputusan untuk berundur.


Menurutnya, Puteri Umno sebolehnya mahu beliau kekal dan menggunakan pengalaman yang ada untuk bersama-sama membawa perjuangan parti.


“Saya amat terkejut dan kesal dengan keputusan beliau, sebagai seorang yang pernah menjadi ‘boss’ dalam puteri Umno, kami mengharapkan beliau terus bersama-sama dalam saf perjuangan.


[ARTIKEL BERKAITAN: Mas Ermieyati keluar Umno]


“Amat tidak wajar jika keputusan Pemilihan Umno menjadi antara faktor penyebab beliau meninggalkan parti kerana sebagai pemimpin yang mendukung amalan demokrasi, kita sepatutnya akur, terima keputusan para perwakilan Umno dengan berlapang dada,” katanya dalam satu kenyataan.


Mas Ermieyati mengumumkan keluar daripada Umno dan menjadi ahli parlimen bebas selepas kecewa dengan sentimen dan sikap sebenar ahli Umno yang masih dalam sindrom penafian termasuk harapan untuk melihat sekurang-kurangnya 70 peratus muka baharu dalam pemilihan Umno tidak kesampaian.


Bagaimanapun, kata Zahida, Puteri Umno menghormati prinsip dan ideologi Ahli Parlimen Masjid Tanah itu dan mendoakan agar dapat melaksanakan tugas sebagai pemimpin yang di pilih rakyat di kawasannya dengan cemerlang.


“Bagi kami di Puteri Umno, akan terus melaksanakan perubahan dalam menangani penghijrahan dalam kalangan ahli yang sedia ada agar rapatkan saf dan terus yakin pada wadah perjuangan ini.


“Saya sebagai Ketua Sayap bongsu Umno ini mengajak semua ahli-ahli terus istiqamah, tetapkan pendirian, teruskan perjuangan dan kita bangkit bersama-sama memperkukuh parti dan kembalikan kepercayaan rakyat kepada Umno,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]