‘Sudah lama di zon selesa’

in Nasional by


SIMPANG PULAI – Sudah terlalu lama berada dalam zon selesa dan khuatir sekiranya gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik, antara alasan awal penolakan jawatan Timbalan Menteri Kesihatan dibuat Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye.


Beliau mengakui, keberatan untuk menerima tawaran berkenaan dan membuat keputusan menolak sebaik mendapat panggilan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 18 Jun lalu.


“Meskipun saya merupakan seorang pakar jantung, saya tetap anggap tanggungjawab ini berat, untuk berada dalam kementerian ini, memerlukan pengetahuan yang tinggi, cabarannya juga nanti adalah sesuatu yang di luar jangkaan.


“Hanya setelah berbincang dengan ahli keluarga dan pimpinan parti termasuk


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, saya dengan hati terbuka menerima lantikan itu,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Rumah Terbuka di Dewan Orang Ramai Taman Bersatu, hari ini.


Beliau dijadualkan mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri di Istana Negara, esok jam 11 pagi.


Timbalan Pengerusi PKR Perak itu juga bersedia memberikan kerjasama dan komitmen tinggi kepada Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad bagi memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan negara dapat ditingkatkan.


Katanya, sepanjang menjadi wakil rakyat, pelbagai jenis aduan diterima berkaitan kementerian itu, paling tinggi adalah isu bekalan ubat tidak mencukupi, masalah parkir yang berlarutan serta janji pembinaan hospital yang tidak ditunaikan.


“Untuk Perak, saya telah meneliti beberapa isu antaranya pembinaan hospital di Seri Iskandar yang belum ada sebarang perkembangan juga di Kampar yang perlu dipindahkan ke tapak lain lebih sesuai.


“Saya dimaklumkan bahawa tapak baru itu telah dikenalpasti, cuma ada sedikit masalah mengenai keluasannya, kita akan lihat masalah ini dengan lebih teliti nanti,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]