9 pekerja tapak bina ‘drawbridge’ kena denggi

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seramai sembilan pekerja tapak pembinaan drawbridge (jambatan angkat) Kuala Terengganu didapati menghidap denggi sehingga 30 Jun lalu, dengan kes terbaru yang dikesan pada 28 Jun.


Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohammad Omar berkata, ia adalah wabak denggi keempat di Terengganu untuk tahun ini di lokaliti tapak binaan itu, dan melibatkan pekerja buruh binaan.


Menurutnya, wabak denggi telah diisytiharkan di kawasan itu dan didaftarkan pada 21 Jun lalu apabila dua pekerja telah didapati positif ujian pengesahan denggi.


“Kes-kes itu melibatkan sembilan pekerja asing lelaki berasal dari Bangladesh, berusia antara 22 hingga 49 tahun. Daripada jumlah itu, dua kes telah dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah manakala tujuh kes menerima rawatan pesakit luar.


“Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan dan semua kes mempunyai tanda-tanda klinikal seperti demam, sakit kepala, sakit sendi dan sakit di belakang mata.


Hasil siasatan pergerakan kes mendapati, pesakit hanya berada di sekitar tapak projek dan rumah kongsi dan bekerja dari jam lapan pagi sehingga enam petang,” katanya.


Susulan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu telah menjalankan aktiviti pemeriksaan dan kawalan di tapak binaan ‘drawbridge’ bagi mengekang penularan dan peningkatan kes.


Jelasnya, pemeriksaan telah dijalankan di tiga tapak binaan di sekitar 200 meter kawasan wabak, iaitu tapak bina ‘drawbridge’, tapak bina Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan tapak bina Mayang Mall.


“Hasil pemeriksaan, kita dapati dua dari tapak bina ini dikesan terdapat positif pembiakan dan kadar urungan nyamuk juga tinggi. Keadaan kebersihan persekitaran rumah kongsi dan tapak binaan juga kurang memuaskan dengan penemuan bekas-bekas pembiakan,” katanya.


Jelas beliau, penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 turut dilakukan dan penutupan tapak binaan ‘drawbridge dan tapak binaan MBKT telah dijalankan, berikutan penemuan tempat pembiakan.


Bagi mengatasi masalah itu, katanya, aktiviti kawalan telah dimulakan dengan semburan kabus iaitu ‘fogging’ dan ULV dalam lingkungan 400 meter dari rumah kes dilakukan.


Selain itu, pemusnahan tempat pembiakan termasuk pemeriksaan bekas-bekas berpotensi pembiakan juga dibuat.


“Gotong-royong juga telah dijalankan oleh pekerja di tapak bina mulai 22 hingga 29 Jun lalu, dan gotong royong pelbagai agensi diadakan pada 30 Jun meliputi lokaliti dan kampung berhampiran kawasan wabak.


“Penubuhan COMBI tapak binaan juga telah dilancarkan pada 30 Jun lalu oleh pemimpin kawasan meliputi 3 tapak binaan ini,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]