Beberapa jenis smart

in Bisnes by


SEDARI kecil tahu diri. Saya adalah “book smart”. Sekarang pun di rumah ada hampir 8,000 buah buku. Isteri terpaksa rela berdamai diri dengan buku di mana-mana.


Saya bukan “street smart”. Sebab itu perlu latih isteri untuk jadi street smart. Saya agak jinak dan mudah terperangkap dengan jerat jalanan.


Gabungan antara book smart dan street smart akan ujudkan “life smart”. Doanya begitu. Saya selalu dengar intuisi (kata hati) sang isteri.


Adanya Facebook membantu orang book smart. Sebab itu saya pergi berguru dengan Puan Ainon Mohd dan Prof Emeritus Abdullah Hassan di Janda Baik. Saya juga belajar dari segala buku Pak Hamka.


Sebagaimana catatan Tuan Ayman Rashdan Wong dalam FB beliau,


“Book smart adalah orang yang pandai membaca (reasoning smart) dan pandai berhujah (word smart). Untuk mantap lagi kena ada “people smart” dan “self-smart”. Dua perkara ni yang paling penting bagi seseorang untuk membina empati dan mengekalkan sesebuah hubungan”


Apabila berguru dengan Malcom Gladwell saya tidak tertarik pada orangnya. Kurus dan nerd. Ia bukan gambaran pendaki gunung dan pelari marathon. Namun Gladwell ajar cara buat duit dengan “perkataan”. Menulis untuk tujuan lebih tinggi.


Selalu saya hitung bilang pada anak anak. Perlu ada IQ. Perlu ada EQ, SQ (Spiritual Quotient), FQ (Financial Quotient) dan terpenting ada AQ (Adversity Quotient).


Apakah AQ? Boleh selesa dalam kedaan tidak selesa. Baru sahaja minggu lepas kami kembara ke Jepun. Berbelas hari. Turun naik train. Latihan ketahanan. Pagi masak. Malam masak. Berjalan dan berjalan. Kami melatih AQ pada anak anak. Minggu depan ke Makassar dan Thoraja, Indonesia pula. Usahawan kena berjalan, lihat dunia dan buka ifuk pandangan.


Kembali pada inti perbincangan : “merefleksikan gagasan menulis sebagai panggilan”. Perkataan yang kita baca dan perkataan yang kita tulis. Sehari ada 24 jam. 3 jam untuk membaca dan 3 jam untuk menulis. 6 jam untuk tidur. Demikian lah saya menjalani hidup sehari hari masa kini. Tinggal lagi 12 jam untuk buat perkara lain dalam hidup.


APAKAH ITU STREET SMART?


Saya ingin menjawab semua ini sebagai orang yang mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap buku-buku. Selalu digolongkan oleh teman teman sebagai “book smart” -pintar buku. Minda perlukan buku sebagaimana pedang perlukan batu pengasah untuk sentiasa tajam.


Namun dalam perniagaan dan kehidupan, pintar jalanan adalah terbaik sebagai pelengkap, bagi menjelaskan apa yang boleh anak-anak muda capai dalam kehidupan.


Definasikan begini. Bagi orang “street smart”, jalan pintar datang dari pengalaman. Ini bermakna mereka telah belajar bagaimana untuk mengambil hikmah, apa yang telah berlaku kepada mereka, baik atau buruk, berfikir mengenainya, dan belajar untuk memperbaikinya. Sentiasa tambah baik.


Perbezaan utama antara pintar jalanan dan pintar buku adalah siapa yang berada di tengah pengetahuan. Di jalanan atau dalam pustaka ilmu. Untuk menjadi pintar jalanan bermakna perlu mempunyai kesedaran keadaan. “Contextual Intelligence”. Kita boleh menilai persekitaran yang ada, yang ada di dalamnya, dan dari apa sudut yang tersedia. Berada di jalan, atau di lautan, atau apa sahaja, samada merayap mahupun bersayap.


Kita perlu belajar percaya pada penghakiman intuisi diri sendiri  “tentang orang disekeliling dan apa yang penting dan perlu diutamakan” Kemahiran begini, tanpa mengira di mana kita membangunkannya, berharga dalam kehidupan tanpa mengira berapa jauh ia didapati. Ia selalu diperolehi dalam lorong perjalanan kehidupan kita sehari hari.


Seorang yang pintar buku akan dapat menyerap perkataan untuk memahami dunia. Belajar dari “kearifan bijaksana” orang lain. Garisbawahi, walau bagaimana mengkagumkan penulisan orang lain, kita akan berada satu tahap yang lebih baik apabila segalanya diperolehi dari pengalaman sebenar. Pintu jalan yang kita lalui bermaksud kita telah menempuh risiko, samada lemas atau hangus terbakar ataupun terselamat.


Apabila terselamat kita dapat berkembang pesat. Pada pintar jalanan dalam mengharung duri dan api, akan ada parut serta bekas luka. Pengalaman bermakna kita telah diuji dan mempunyai keberanian untuk bergantung pada pengalaman jalanan apabila kita diuji lagi.


Menjadi pintar jalanan, saat telah ada bekal pintar buku dapat membantu sebagai “jalan akal pintar” – melhat apa yang berfungsi dan apa yang tidak, serta gunakan akal budi menyesuaikan dengan sewajarnya.


Pintar Buku , seperti yang dapat dipermudahkan dan bingkaikan dalam perkataan adalah:


“Seseorang yang baik mengikuti peraturan. Orang yang mendapat “straight A”, duduk di depan, dan kemudian menikmati teka-teki silang. Mereka suka perkara yang mempunyai jawapan yang tepat. Mereka suka mempercayai kelantangan, dan ketepatan, pengetahuan mereka boleh memberi ganti rugi kerana kekurangan pengalaman mereka dalam mengharung dunia nyata”


Orang pintar buku akan berdepan jalan sukar apabila tidak mengiktiraf mereka yang “pintar jalanan”- rajin dan tekun berusaha untuk meningkatkan kemahiran dan capai kesuksesan. Nik Hasyudeen menyebut, “Keusahawanan melibatkan pengambilan risiko. Jika buat keputusan salah dan terus boleh kerja dan dapat gaji macam biasa, itu bukan usahawan”


Orang pintar buku, selalu setengah gila dengan pilihan mereka sendiri. Mereka bersikap keras melihat dunia dengan hanya satu hala sahaja. Hubaya hubaya, “pintar buku” boleh mengelirukan. Banyak masa berpura-pura tahu dan lambat bertindak. Atau lebih teruk, walaupun selepas tahu beberapa fakta, mereka bertekad untuk mencari lebih banyak buku dan belajar lagi.


PETARUNG SEJATI


(“Berapa banyak yang anda boleh tahu tentang diri anda jika anda tidak pernah terlibat dalam pertarungan?”) Itu maksudnya petarung sejati. Mereka ini ada dua kekuatan “Book Smart and Street Smart”.


Sentiasa berfikir tentang perkara-perkara yang mempunyai nilai (book smart) tetapi membayangkan bagaimana kita akan dapat mengatasi keadaan yang sukar dalam dunia (street smart).


Dalam banyak cerita perang, yang mengalahkan lawan dan menawan kubu lawan adalah Sarjan yang cekap dan berpengalaman. Bukan sarjana sijil berjela.


*** Roslan Ab Hamid adalah usahawan. Sekarang ini beliau banyak menghabiskan masa melihat dunia. Beliau banyak masa berpengkalan di Indonesia.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]