Hub penerbangan di Labu

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Kerajaan negeri bercadang membangunkan sebuah hub penerbangan di negeri ini, bagi membantu meningkatkan ekonomi negara.


Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Rafie Ab Malek berkata, pihaknya sudah mendapat persetujuan kerjasama dengan AirAsia dan Sime Darby Property untuk bersama-sama merealisasikan hasrat tersebut.


Menurutnya, hasrat tersebut boleh dilaksanakan jika semua pihak memberi kerjasama yang baik, dan yakin itu akan dapat memberi manfaat bukan hanya kepada ekonomi negeri bahkan kepada pertumbuhan ekonomi negara.


“Saya sudah berjumpa dengan pihak AirAsia, dan kita sedia maklum bahawa AirAsia merupakan pembeli terbesar kapal terbang syarikat Airbus dan kerana itu, saya mencadangkan agar Airbus membuka syarikat operasinya melibatkan Finish Assembly Line, di sini.


“Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes juga sangat teruja dengan cadangan ini dan beliau berjanji kepada saya untuk sampaikan hasrat kerajaan negeri kepada pihak Airbus,” katanya.


Jelasnya, Negeri Sembilan antara negeri yang paling hampir dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kerajaan negeri yakin perancangan ini mampu dilaksanakan dengan baik.


Katanya, lokasi hub penerbangan itu dicadangkan dibina di Labu, kerana ia paling hampir dengan KLIA.


“Saya berharap, paling kurang pun kita boleh wujudkan pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) komersial, pesawat, enjin dan komponen di hub penerbangan itu.


“Malaysia adalah antara pelanggan terbesar Airbus dan ini satu lagi peluang baik perlu kita manfaatkan,” katanya.


Tambahnya, ini adalah perancangan pelaburan berprofil tinggi dan diharap ia dapat dilaksanakan.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]