Insiden tertukar ubat sawan ubah hidup Anaqah

in Edisi by


JABIR – Hanya kerana sebiji ubat sawan, hidup seorang remaja, Anaqah Alias, 14, kini berubah 100 peratus sehingga tidak lagi mampu mengurus diri sendiri apatah lagi untuk menjalani kehidupan sebagaimana rakan lain seusianya.


Ibunya, Siti Asmas Abdullah, 38, mendakwa, segalanya bermula empat tahun lalu ketika anak sulung daripada dua beradik itu berusia 10 tahun.


“Anaqah ada penyakit sawan, tapi ia terkawal. Malah dia seperti anak-anak lain mampu urus diri sendiri tanpa bergantung pada sesiapa.


“Namun insiden tertukar ubat sawan pada 2014 telah mengubah seluruh hidupnya. Bukan saja tak mampu urus diri, malah dia kini lebih banyak berdiam diri dan segalanya agak terbatas” katanya kepada Sinar Harian.


Siti Asmas mendakwa, anaknya itu diberikan ubat sawan jenis lain dan berbeza dengan apa yang diambil sebelum ini untuk mengawal penyakitnya dan mengelak kekejangan.


Bagaimanapun hanya sebiji pil ubat sawan ditelan, kulit anaknya mula memberikan tindak balas sehingga menyebabkan ia hangus seolah-olah terbakar.


“Masa mula-mula nak bagi memang rasa berat hati, tapi teruskan juga bimbang apa-apa berlaku pada Anaqah. Memang tak sangka, hanya sebiji, kesan terpaksa dilalui Anaqah cukup perit.


“Kulitnya kemerah-merahan, saya bawa dia ke Unit Kecemasan Hospital Jeli sebelum dirujuk ke Hospital Tanah Merah. Keadaan Anaqah makin teruk dan dia dipindahkan ke Kota Bharu (Hospital Raja Perempuan Zainab II). Seluruh tubuhnya seolah-olah terbakar,” katanya.


Tambahnya, kuku kaki dan tangan Anaqah turut tercabut, manakala kulitnya kehitaman dipercayai akibat kepanasan melampau.


“Tak sampai hati nak tengok keadaannya ketika itu, sebagai ibu hanya air mata peneman setia saya bila mengenangkan nasib yang bakal dilalui. Dua bulan matanya tak boleh melihat,” katanya.


Siti Asmas berkata, dahulu Anaqah hanya bergantung sepenuhnya kepada susu yang diberikan melalui saluran tiub untuk meneruskan hidupnya.


Bagaimanapun kini keadaannya bertambah baik apabila boleh makan dan minum seperti biasa tetapi perlu disuapkan.


Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh salurkan sumbangan ke akaun Agro Bank Siti Asmas Abdullah (2006691000232460) atau hubungi 014- 5273556.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]