Isu cacing: Pengguna perlu waspada

in Edisi Johor by


SEGAMAT – Sekretariat Suara Pengguna Prihatin Malaysia (SPPM) meminta semua pengguna di negara ini terutamanya pengguna Muslim agar waspada selepas penemuan cacing terhadap produk ikan sardin di dalam tin, baru-baru ini.


Presidennya, Normala Sudirman berkata, tambah mengejutkan lagi, terdapat enam jenis sardin berjenama dijumpai tercemar dengan kes sama berdasarkan penemuan di Pelabuhan Butterworth, Pulau Pinang, baru-baru ini.


“Justeru, diharapkan pengguna Muslim prihatin dan mengambil perhatian serius hal ini dengan bersikap waspada serta mengambil perhatian terhadap isu yang sedang tular di media sosial ini.


“Periksa tarikh luput, jenama dan keluaran sekiranya ingin membeli sardin sama ada di pasar raya atau kedai-kedai tertentu kerana kita tidak mahu pengguna membeli produk yang boleh memudaratkan kesihatan,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurutnya, pemakanan halalan toyyiba atau bersih lagi suci adalah amat penting di samping memilih apa jua jualan produk yang patuh syariah serta bertanda halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


Katanya, SPPM juga ingin menggesa lebih ramai lagi umat Islam dan pengusaha syarikat pengeluar makanan halal dan tidak diragui kebersihannya supaya tidak menimbulkan keresahan umat Islam.


Khamis lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat enam lagi jenama produk ikan sardin dalam tin yang mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis Spp.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam produk ikan sardin berkenaan adalah jenama Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy.


Beliau berkata, Kementerian Kesihatan sudah mengambil tindakan penguatkuasaan dan syarikat yang terbabit sudah diarah menarik balik produk berkenaan dari pasaran serta dikenakan tindakan tahan, uji dan lepas terhadap pengimportan produk ikan dalam tin di semua pintu masuk negara.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]