Kabinet kecil cerminkan langkah berhemah kerajaan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kabinet baru kerajaan  yang akhirnya diumumkan hari ini menyaksikan  barisan yang lebih kecil tetapi mantap terdiri daripada pelbagai latar belakang yang mampu menyuntik harapan dan keyakinan baharu kepada rakyat ke arah menerajui negara.


Kabinet lebih kecil terdiri daripada 25 kementerian yang mengandungi 26 menteri juga seiring dengan langkah kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan perbelanjaan ketika negara memikul beban jumlah hutang yang besar.


Pengerusi Pusat Kajian Dasar  Awam Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI),  Tan Sri Ramon Navaratnam menyifatkan Kabinet baharu itu sebagai “Bersih, Cekap dan Kompak” sambil berkata kabinet yang kecil bakal membawa banyak kelebihan kerana menteri dapat membuat penyelarasan lebih rapat dalam tugas mereka, dengan itu mengurangkan birokrasi.


Beliau berkata, pada masa yang sama ini akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pentadbiran.


“Kami berharap kabinet baharu ini akan mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih cekap dan lancar. Kabinet yang kecil juga membolehkan perdana menteri dan timbalan perdana menteri memantau setiap kementerian dengan teliti.  


“Dan ini saya percaya akan  meningkatkan kecekapan menteri dan ketelusan dan akauntabiliti kementerian serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap mereka,” kata beliau kepada Bernama hari ini.


Seramai 13 lagi menteri mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara hari ini, menjadikan keseluruhan 26 menteri dalam kabinet dilantik setakat ini.


 


Dua puluh tiga  timbalan  menteri juga telah mengangkat sumpah jawatan hari ini. Tiga belas menteri telah mengangkat sumpah jawatan sebelumnya pada Mei.


Kabinet Perdana  Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah lebih kecil berbanding kabinet kerajaan sebelum ini yang menyaksikan sejumlah 36 menteri dari 26 kementerian.


Di bawah Barisan Nasional, Jabatan Perdana Menteri sahaja mempunyai 11 menteri yang dilantik ke pelbagai portfolio.


Walaupun hampir semua yang dilantik adalah muka baharu dan tidak mempunyai pengalaman dalam mentadbir kerajaan, Ramon berkata mereka yang dilantik juga mempunyai kelebihan kerana mereka dari kalangan profesional yang berkelulusan tinggi dari pelbagai latar  belakang.


“Apa yang penting,  mereka bebas daripada rasuah dan bermotivasi tinggi untuk berkhidmat,” kata beliau dan menambah mereka perlu mempelajari selok-belok tugasan dalam memenuhi harapan tinggi daripada rakyat.


Barisan baharu juga menyaksikan representasi besar kaum wanita dalam kerajaan apabila menampilkan lima menteri wanita termasuk Timbalan Perdana Menteri  dan empat timbalan menteri wanita dilantik.


Ia juga melakar sejarah sendiri apabila anggota parlimen Muar betrusia 25 tahun Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dlantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, menjadikan beliau menteri paluing muda dalam kabinet.


Terdahulu, Dr Mahathir juga berkata tiga lagi menteri akan dilantik selepas mereka mengangkat sumpah sebagai senator, menjadikan keseluruhan barisan kabinet kepada 29 orang menteri. Perdana Menteri membayangkan  mereka mungkin bukan ahli politik tetapi dari kalangan profesional. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]