Kekalahan Ku Li sudah dijangka: Penganalisis politik

in Politik by


SHAH ALAM – Kekalahan Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dalam pemilihan jawatan tertinggi parti itu kelmarin bukanlah perkara mengejutkan.


Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, ‘orang lama’ seperti beliau mungkin relevan dalam konteks tertentu tetapi bukan bagi jawatan Presiden Umno.


Malah, katanya, kekalahan Ahli Parlimen Gua Musang itu sudah dijangka kerana saingan dilihat lebih melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


“Pemimpin lama macam Ku Li, masa dulu bolehlah tapi masa sekarang agak kurang relevan. Bila beliau bertanding, nak dapatkan sokongan daripada bahagian memang agak sukar.


“Memang saya sudah menjangkakan beliau akan kalah sebab saya tengok peluang beliau agak sukar. Orang nak lihat Umno yang baru, yang ada penjenamaan semula,” katanya kepada Sinar Harian.


Mengulas keputusan pemilihan jawatan Presiden Umno, Mohd Azizuddin mengakui beliau tidak nampak perubahan yang cuba dilakukan Umno selepas perwakilan memilih Ahmad Zahid untuk memimpin mereka.


“Saya tidak nampak Umno bawa perubahan atau ada penjenamaan untuk parti. Bila Ahmad Zahid menang, banyak benda beliau perlu lakukan, kena buat benda baru, kena bawa perkara baru.


“Beliau boleh jadi Presiden Umno tetapi bolehkah beliau menjadi Perdana Menteri kepada rakyat? Itu mungkin susah, jadi beliau kena fikir apa perlu dilakukan selepas ini.


“Ku Li dan Khairy Jamaluddin nampak ikhlas nak ubah Umno tapi Ahmad Zahid tak nampak lagi malah beliau juga tidak pernah mengatakan kepimpinan sebelum ini punca Umno kalah dalam PRU14,” ujarnya.


Menurutnya, perwakilan Umno dilihat seperti enggan mengambil risiko apabila memilih bekas Timbalan Presiden itu menerajui parti, di samping mengekalkan status quo parti.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]