Kerajaan perlu tangguh pelarasan tarif elektrik

in Nasional by


SHAH ALAM – Kerajaan perlu menangguhkan pelarasan tarif elektrik melalui mekanisme Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) dan penghapusan rebat elektrik sehingga tahun depan.


Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, penangguhan itu perlu bagi mengelakkan peniaga menggunakan alasan kenaikan tarif elektrik untuk tidak menurunkan harga barang walaupun kerajaan telah menunaikan janji untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).


Menurutnya, tempoh masa antara Julai hingga Disember adalah cukup penting untuk mengelakkan sebarang kenaikan tarif baru dan meneliti reaksi peniaga dan industri kepada langkah-langkah menstabilkan harga barang yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan.


“Sekiranya GST dihapuskan dan kenaikan harga minyak mingguan dihapuskan, tetapi pada masa yang sama tarif bersih elektrik naik, peniaga dan industri akan menggunakan alasan ini (serta pengenalan (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) SST bermula September ini) untuk tidak menurunkan harga barang kerana mengambil sikap “tunggu dan lihat”.


“Ia juga akan melunturkan keyakinan rakyat terbanyak kepada kesungguhan dan keikhlasan Pakatan Harapan untuk mencari jalan terbaik membantu rakyat terbanyak yang menukar Kerajaan Persekutuan dengan harapan ia akan mengelakkan kenaikan harga barang yang tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Melalui pelarasan yang bakal berkuat kuasa pada 1 Julai ini, pengguna bukan domestik tidak lagi mendapat rebat sebanyak RM1.52 sen setiap kWj yang dipakai dan pada masa yang sama, perlu membayar surcaj ICPT sebanyak RM1.35 sen setiap kWj, menjadi jumlah kenaikan tarif bersih untuk pengguna bukan domestik adalah sebanyak RM2.87 sen setiap kWj


Manakala, pengguna domestik melebihi 300 kWj tidak lagi menerima rebat RM1.52 sen setiap kWj dan akan membayar tarif bersih yang lebih tinggi.


Kata Rafizi, keputusan terkini pelarasan ICPT akan melunturkan kesan penghapusan GST ke atas isi rumah di negara ini sebanyak 50 peratus.


“Bagi pengguna yang bil bulanan adalah di bawah RM72.61 sebulan, golongan ini langsung tidak terkesan dari keputusan memansuhkan GST dan pelarasan ICPT.


“Tetapi, bagi pengguna yang bil bulanan adalah lebih tinggi dari RM72.61, penjimatan akibat pemansuhan GST akhirnya berkurangan sehingga 50% apabila pelarasan ICPT menyebabkan rebat 1.52 sen setiap kWj itu dihapuskan berkuat kuasa bermula 1 Julai 2018,” katanya.


Namun, jelasnya, untuk berlaku adil kepada kepada Tenaga Nasional Berhad yang menanggung kos bahan api yang lebih tinggi, beliau mencadangkan kerajaan berunding untuk mencari jalan penyelesaian.


“Antara yang boleh dilakukan ialah memberi keutamaan kepada TNB untuk mendapatkan kerja-kerja penjanaan elektrik yang baru yang ditetapkan kerajaan supaya TNB tidak terlalu terikat kepada perjanjian jual beli elektrik dari penjana bebas .


“Mengkaji semula sebarang perjanjian jual beli elektrik antara TNB dan penjana bebas yang merugikan TNB,” katanya.


Beliau juga akan membawa cadangan menangguhkan kenaikan tarif bersih elektrik ini ke mesyuarat biro politik PKR malam ini agar perkara tersebut disuarakan oleh wakil-wakil PKR di dalam Jemaah Menteri.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]