Mat Said sedia terajui Umno negeri

in Edisi Terengganu by


KEMAMAN – Bekas Menteri Besar yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said bersedia untuk memikul tugas sebagai Pengerusi Umno Terengganu buat kali kedua jika dipilih pucuk pimpinan parti.


Ahmad yang lebih dikenali sebagai Mat Said berkata, kesediaannya untuk menggalas tanggungjawab berat itu berdasarkan pengalamannya yang pernah menerajui Umno negeri ketika bergelar menteri besar sebelum ini.


Katanya, beliau ingin melihat Umno Terengganu kembali bangkit setelah masalah dalaman mengakibatkan mereka tewas dalam PRU14 lalu.


“Kita sedar kita kalah di Terengganu bukan sebab Pas kuat tetapi sebab masalah Umno sendiri.


“Ini kali kedua Pas memerintah Terengganu iaitu pada 1999 kita berdepan dengan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekarang isu Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk masalah kempimpinan dan faktor calon,” katanya selepas diminta mengulas sekiranya beliau ditawarkan jawatan pengerusi Umno negeri itu selepas beliau diumumkan berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Kemaman untuk tahun ke-18.


Mesyuarat pemilihan Umno Bahagian Kemaman itu menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Adun Kijal itu dengan bekas penghulu Kemaman, Mat Dalam Awang.


Pemilihan Umno bahagian yang berlangsung serentak seluruh negara pada Sabtu lalu juga menyaksikan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman gagal mempertahankan jawatan Ketua Umno Kuala Nerus dan Mat Said menjadi ketua bahagian paling senior di negeri ini.


Mengulas mengenai kejayaannya mempertahankan jawatannya itu, Mat Said berkata, kepercayaan yang diberikan perwakilan itu adalah satu cabaran berat untuk beliau pikul.


“Tetapi dengan ada kepimpinan baharu pada kali ini saya harap ia dapat menyatukan ahli-ahli Umno untuk buktikan Umno masih relevan ketika ini.


“Apa yang penting kita perlu bekerja kuat, bersatu hati dan buktikan kepada rakyat bahawa Umno masih lagi pilihan terbaik terutama kepada rakyat Terengganu dan Kemaman,” katanya.


Dalam pada itu, Mat Said turut mengharapkan barisan kepimpinan Umno Malaysia yang baharu dipilih termasuk presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya mendengar isi hati dan perasaan rakyat di peringkat akar umbi terutama di bahagian-bahagian.


Tegasnya, ia lebih-lebih lagi dalam soal pemilihan calon pilihan raya kerana kesilapan memilih calon menjadi salah satu sebab Umno mengalami kekalahan.


“Sebaiknya presiden memanggil ketua-ketua bahagian satu persatu untuk mendengar pandangan mereka dan menentukannya.


“Perkara sama juga perlu dilakukan pengerusi Umno negeri kerana semasa saya menggalas tanggungjawab itu dulu saya panggil semua ketua bahagian untuk berbincang mengenai calon-calon.


“Tetapi pada PRU14 lalu semua ketua bahagian tidak pernah dipanggil oleh pengerusi Umno (Terengganu) untuk berbincang mengenai calon. Inilah perkara yang kita amat dukacita,” katanya lagi.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]