Naik taraf jalan FT50 kena segera

in Edisi Johor by


KLUANG – Projek naik taraf jalan FT 50 Kluang-Ayer Hitam perlu disegerakan bagi mengurangkan kadar kemalangan di daerah ini.


Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, sebelum ini bekas Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong beberapa kali mengemukakan isu keselamatan tersebut dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen, namun sehingga kini projek tersebut masih belum dilaksanakan.


Menurutnya, projek naik taraf jalan tersebut perlu dilaksanakan segera berikutan sejak kebelakangan ini banyak kes-kes kemalangan maut berlaku di Jalan FT50 Kluang-Ayer Hitam.


“Mengikut rekod kerajaan terdahulu peruntukan di bawah Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-11 ( RMK11) sememangnya tiada peruntukan khusus untuk projek naik taraf jalan FT 50.


“Bagaimanapun, saya akan cuba masukkan permohonan bagi mendapatkan peruntukan dalam Rolling Plan 4 (RP4). Kita perlu menaik taraf jalan FT 50 ini kerana ianya merbahaya.


“Saya percaya kerajaan baharu dapat membantu melaksanakan projek naik taraf ini. Malah, beberapa menteri menunjukkan prihatin dengan keselamatan pengguna jalan raya seperti Menteri Pengangkutan dan juga barisan Kabinet,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan Hari Raya kepada keluarga asnaf yang dianjurkan oleh pasaraya Songmart di Kluang Junction, di sini, semalam.


Shu Qi berkata, beliau sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan, beliau akan berjuang membantu rakyat menyelesaikan masalah yang dihadapi.


Katanya, naik taraf jalan tersebut penting dan ianya adalah salah agenda utama kerajaan Pakatan Harapan.


“Walaupun jalan tersebut di bawah kelolaan kerajaan negeri, namun sekiranya Kerajaan Persekutuan ingin menyumbangkan peruntukkan bagi menaik taraf jalan berkenaan adalah lebih baik.


“Projek naik taraf ini juga mengambil masa berikutan mana-mana projek yang menjadi keutamaan akan dilaksanakan segera.


“Harapan saya projek ini dapat dilaksanakan dahulu terutama dari Ayer Hitam ke Kluang,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]