Restoran eksklusif jadi port

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Sebuah restoran tertutup yang boleh dikategorikan eksklusif menyediakan hidangan khas untuk warga asing diserbu anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia.


Dalam serbuan terbabit, beberapa pelanggan termasuk pekerja kedai ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa.


Lokasi terbabit dipercayai menjadi tumpuan warga asing berkumpul sambil menikmati hidangan dari negara asal selain dijadikan port lepak kaki minum.


Walaupun bau masakan boleh membuatkan seseorang merasa tidak selesa berikutan keadaan premis yang tertutup selain kedudukannya berada di tingkat atas bangunan, namun itu semua tidak menghalang pelanggan mengunjungi kedai berkenaan.


Pelanggan perlu menaiki anak tangga untuk sampai ke restoran berkenaan kerana lokasinya terletak di tingkat satu premis rumah kedai berdekatan sebuah pasar raya terkemuka.


Dipercayai, lokasi berkenaan agak tersembunyi bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.


Bagaimanapun, kira-kira 40 pelanggan yang sedang menikmati makanan di restoran sama tidak terlepas dari dikenakan tindakan pemeriksaan oleh anggota penguatkuasa.


Seorang kanak-kanak dua tahun bersama ibunya berusia 30-an antara yang ditahan dalam Ops Mega 3.0 Jabatan Imigresen Negeri Kedah.


Kedua-duanya ditemui berada dalam satu kedai makan dekat dengan Stesen Bas Jalan Petri Sungai Petani bersama-sama lebih 30 warga asing lain sedang menikmati makan tengah hari.


Disebabkan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, mereka ditahan untuk siasatan lanjut.


Dalam serbuan sama, tiga pekerja kedai makan nasi kandar sama turut ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.


Leka membeli-belah


Serbuan diteruskan ke sebuah pasar raya yang menjadi tumpuan warga asing bersiar-siar sempena hujung minggu.


Pemeriksaan telah dijalankan di kios, kedai makan, pusat salon rambut, kedai alat gajet, premis barangan hiasan, ruang legar pasar raya dan kawasan sekitar pasar raya terbabit.


Pemerhatian ke atas warga asing di bandar ini menunjukkan rata-ratanya ada kemampuan untuk berbelanja kerana ketika diserbu mereka sedang membeli-belah termasuk mendapatkan telefon bimbit, keperluan dapur seperti beras, minuman dan kelengkapan rumah yang lain.


Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Zuhair Jamaluddin berkata, Ops Mega 3.0 yang bermula pada jam 12 tengah hari itu berakhir pada 2.30 petang apabila 374 warga asing diperiksa.


Menurutnya, seramai 79 individu ditahan berusia antara dua hingga 51 tahun kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.


“Antara yang ditahan ialah terdiri daripada 20 warga negara Bangladesh, 20 warga Myanmar, 38 warga Nepal dan satu dari Pakistan.


“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 15(4) dan Seksyen 39(b) akta yang sama,” katanya.


Operasi disertai 44 anggota termasuk dari Jabatan Pendaftaran Negara.


Kesemua yang ditahan akan dibawa ke Pejabat Imigresen Wisma Persekutuan Anak Bukit untuk proses dokumentasi.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]